KANGAR, 31 Mac (Bernama) -- Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) terus komited memperkasakan golongan asnaf melalui pelaksanaan Program Keusahawanan Digital untuk membantu peserta menyesuaikan diri dengan ekonomi moden menerusi pemasaran digital, penjenamaan produk serta penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
Pengerusi FCoEE Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata program itu menyasarkan 40 peserta terdiri daripada Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM) di bawah FCoEE, usahawan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) serta komuniti peniaga kecil Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis.
“Para peserta mempunyai produk dan kemahiran asas yang baik, namun memerlukan bimbingan strategik untuk berkembang. FCoEE melihat potensi besar dalam kalangan mereka untuk muncul sebagai usahawan berjaya dan lebih berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Majlis Pelancaran Program Keusahawanan Digital Asnaf dan Majlis Seri Aidilfitri FCoEE di Arau semalam.
Majlis itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja FCoEE dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Berangkat sama Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta puteri-puteri baginda berdua Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Kamarudin berkata FCoEE amat menghargai kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Kelantan khususnya Fakulti Data Sains dan Komputeran yang menyumbang kepakaran akademik serta pengalaman industri bagi memastikan pelaksanaan program itu berjalan secara profesional dan berimpak tinggi.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan pemeteraian persefahaman antara FCoEE bersama Dosz Academy serta ZAHA Bina sebagai usaha memperluas jaringan kerjasama strategik.
Selain itu, Sasterawan Negara China Liu Zhenyun juga hadir pada majlis berkenaan dan mempersembahkan buku berjudul ‘Tawa dan Tangis’ yang akan dihadiahkan kepada semua perpustakaan sekolah di Perlis oleh Pertubuhan Han Malaysia.
-- BERNAMA