AM

Akta 872 Lembaran Baharu Lindungi Kebajikan Pekerja GIG - GEM

31/03/2026 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berkuat kuasa hari ini merupakan langkah bersejarah dalam mengiktiraf serta melindungi kebajikan komuniti itu di negara ini, demikian menurut Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM).

Ketua Aktivis GEM Masrizal Mahidin berkata pelaksanaan akta tersebut membuktikan reformasi pekerjaan masa depan sedang berlangsung, selari dengan kepimpinan dan iltizam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membina ekosistem pekerjaan yang lebih adil, inklusif dan berdaya tahan.

"Malaysia berpotensi menjadi contoh di peringkat Asia Tenggara dan global sekiranya pelaksanaan Akta 872 ini dilaksanakan dengan berkesan dan konsisten.

"Marilah kita bersama-sama melakar masa depan pekerja gig yang lebih terbela, mampan, berinovasi dan berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Masrizal berkata GEM turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan atas pelaksanaan akta itu yang dilihat sebagai langkah proaktif dalam membela nasib pekerja p-hailing dan e-hailing.

Akta Pekerja Gig 2025, yang diluluskan di Parlimen tahun lepas, bertujuan menyediakan kerangka undang-undang bagi melindungi individu yang bekerja dalam ekonomi platform, termasuk akses kepada skim perlindungan sosial, mekanisme penyelesaian pertikaian dan penetapan kadar upah yang lebih saksama.

Penguatkuasaan akta itu memberi manfaat perlindungan holistik kepada kira-kira 1.64 juta individu yang terlibat dalam sektor ekonomi gig di negara ini.

Sebelum penguatkuasaan akta itu, pekerja gig beroperasi di bawah kontrak perkhidmatan, menjadikan mereka diklasifikasikan sebagai individu bekerja sendiri yang menyebabkan mereka tidak mendapat perlindungan di bawah Akta Kerja 1955, termasuk tiada caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) oleh syarikat platform.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539550