AM

Setahun Tragedi Putra Heights: Penduduk Terus Bangkit Walau Trauma Masih Terasa

01/04/2026 12:43 PM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Genap setahun berlalu, namun tragedi letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor masih terpahat dalam ingatan penduduk, malah mungkin akan dikenang selama-lamanya.

Peristiwa yang menggemparkan negara pada 2 Syawal tahun lepas itu bukan sekadar meragut keceriaan Aidilfitri, malah mengubah landskap Kampung Kuala Sungai Baru dalam sekelip mata akibat dentuman kuat yang pada mulanya disangka penduduk sebagai letupan bom atau pesawat terhempas.

Tinjauan Bernama mendapati meskipun kesan fizikal tragedi masih kelihatan, masyarakat setempat memilih untuk terus melangkah ke hadapan dengan semangat baharu, walaupun bayang-bayang kejadian itu sesekali “menjelma” di ruang mata.

Pengasas Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari Mohd Asri Yunus, 59, berkata meskipun trauma belum hilang sepenuhnya, beliau reda dengan ujian itu dan bersyukur atas keprihatinan serta bantuan pelbagai pihak.

“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kepada Jabatan Perdana Menteri, Petronas, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan paling utama, masyarakat setempat, rakan-rakan serta pihak masjid yang banyak menghulurkan tangan. Berkat sokongan mereka, kami mampu berdiri lagi,” katanya kepada Bernama.

Mohd Asri mengakui kemasukan pelajar ke pusat tahfiz itu sedikit terjejas berikutan kebimbangan ibu bapa terhadap aspek keselamatan sejak kejadian itu, namun beliau melihatnya dari sudut positif dan penuh hikmah.

“Saya sentiasa berpegang kepada hadis Nabi Muhammad SAW bahawa tidaklah seorang Muslim ditimpa musibah melainkan untuk Allah mengampunkan dosa-dosanya, hatta jika sekadar terpijak duri sekalipun. Allah memilih tempat ini untuk diuji, maka kami menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Bagi pasangan suami isteri Mohamad Nasir Abd Hamid, 70, dan Aliyah Ismail, 56, kejadian yang tidak pernah disangka-sangka itu terus diingati lebih-lebih lagi kediaman yang dibina sendiri musnah sepenuhnya.

Mohamad Nasir bagaimanapun bersyukur kerana kini mempunyai kediaman baharu yang dibina sepenuhnya oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) walaupun ia tidak dapat mengembalikan semua keindahan seperti di rumah sebelum ini.

“Semuanya berjalan lancar, alhamdulillah. Pada mulanya ada rasa bimbang jika rumah ini tidak dapat disiapkan tetapi kerja-kerja kontraktor sangat pantas dan bahan binaan yang digunakan juga berkualiti tinggi,” katanya.

Aliyah pula tidak dapat menyembunyikan rasa sebak apabila mengenangkan rumah yang dibina di atas tanah pusaka peninggalan mentuanya seluas 0.4 hektar itu kini kembali berdiri megah.

Bagi Aliyah, meskipun hiba setiap kali teringat akan kemusnahan harta benda dalam sekelip mata itu, kepasrahan dan bantuan yang diterima menjadi pengubat luka yang paling mujarab.

“Penantian kami sudah berakhir. Dapat tinggal semula di tapak rumah lama peninggalan orang tua adalah satu rahmat yang besar buat kami sekeluarga,” katanya sambil menyapu air mata.

Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi, 1 April 2025 yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 separa musnah manakala 57 lagi terjejas.

Sementara itu, Petronas Gas Berhad (PGB) telah menyalurkan lebih RM2.7 juta dalam bentuk bantuan tunai dan perubatan sejak insiden tahun lepas, selain turut menyalurkan RM25 juta melalui Kementerian Kewangan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membaik pulih rumah di Putra Heights dan Kampung Tengah.

PGB juga melancarkan program “Tenang” bagi menyokong kesihatan mental dengan kerjasama Hospital Putrajaya dan aplikasi “Naluri”, selain turut melaksanakan jelajah “AnA” (Kesedaran dan Tindakan) untuk berinteraksi dengan komuniti yang tinggal berhampiran saluran paip gas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539601