Laporan bersiri tiga bahagian ini mengupas isu pendermaan organ di Malaysia, khususnya dalam kalangan pesakit mati otak yang dilihat sebagai masih rendah. Artikel pertama ini menyoroti secara umum kefahaman masyarakat tentang pendermaan organ dan kepentingannya.
Rakaman video memaparkan sepasang suami isteri mengiringi perjalanan terakhir anak mereka ke dewan bedah bagi menjalani prosedur derma organ di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang tular awal tahun ini, menyerlahkan satu sisi manusiawi yang jarang dilaporkan di negara ini.
Amirrul Mukminin Mohd Zain, 27 tahun, disahkan mengalami kematian otak atau brain death selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Justeru, walaupun di mata kasar anak muda ini masih hidup, dari sudut klinikal dia sudahpun meninggal dunia kerana jantungnya hanya berdegup dengan bantuan mesin sokongan hayat.
Semasa hidupnya, pemuda berhati mulia ini mendaftar sebagai pengikrar derma organ, dan selepas mengetahui niat anak mereka, si ibu dan ayah memilih untuk menunaikan hasrat Amirrul Mukminin. Dilaporkan sebanyak tujuh organ dan isu sihat didermakan oleh Allahyarham, antaranya jantung, buah pinggang dan mata.
Pengorbanan Allahyarham serta kesanggupan ibu dan ayahnya membenarkan pengambilan organ daripada jasad anak yang dilihat masih “bernyawa”, merupakan sesuatu yang jarang berlaku di negara ini, demikian menurut pakar transplan yang ditemui Bernama, sekali gus membawa kepada polemik realiti pendermaan organ di Malaysia yang kadarnya dilihat sebagai masih rendah, khususnya dalam kalangan pesakit mati otak.
"KAMI MAHU LEGASINYA TERUS HIDUP"
Menerusi bantuan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Bernama berpeluang menemu bual secara bertulis sebuah lagi keluarga yang melalui momen seperti ibu dan ayah Allahyarham Amirrul Mukminin, juga pada awal tahun ini.
Memohon agar identiti mereka dirahsiakan, keluarga berketurunan Cina ini membuat keputusan berat itu selepas anak lelaki mereka yang berusia 30-an mengalami mati otak akibat strok.
“Mendiang terkena strok ketika berada di dalam bilik air di rumah dan terus dikejarkan ke PPUM. Namun selepas pelbagai rawatan dilakukan, dia disahkan mati otak,” kongsi mereka.
Setelah dimaklumkan oleh pihak hospital akan situasi anak mereka serta potensi pendermaan organ daripada pesakit kategori tersebut, keluarga berkenaan membuat satu keputusan yang sememangnya sukar, sementelah anak mereka dilihat masih “bernafas”.
“Kami sentiasa ingat bahawa insan kesayangan kami ini adalah seorang yang suka tersenyum dan sering membantu orang lain. Walaupun kurang aktif bersukan, dia tidak mempunyai sebarang penyakit, cuma kadangkala mengadu sakit kepala kerana stres dan penat bekerja menguruskan perniagaan sendiri, iaitu menjual peralatan elektrik. Namun, selepas dia 'pergi', kami tahu yang dia pasti inginkan kebaikan dirinya dapat diteruskan.
"Biarpun perasaan kami bercampur baur antara hiba dan reda, selepas mengetahui bahawa organ dan tisunya berpotensi menyelamatkan insan lain yang lebih memerlukan, ini sedikit-sebanyak memberi ketenangan kepada kami untuk meneruskan prosedur demi memastikan legasinya terus hidup," jelas pasangan tersebut.
Mendiang mendermakan satu organ dan dua tisu sihat termasuk tulang dan injap jantung sementara kedua-dua buah pinggangnya ditransplan pada penerima di hari sama.
“Kami tidak tahu tentang pendermaan organ ini dan hanya tahu selepas dimaklumkan oleh pihak hospital. Pada masa sama, kami juga menasihati mereka yang ingin menderma organ agar berbincang dengan keluarga masing-masing supaya keputusan dapat dibuat dengan jelas apabila tiba saatnya,” kata mereka.
HADIAH PELUANG KEDUA
Pengorbanan mendiang dan keluarganya tidak sia-sia kerana buah pinggang lelaki itu kini “hidup” dalam tubuh seorang wanita berusia 49 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Saras.
Saras hidup dalam keterbatasan akibat penyakit buah pinggang kronik tahap dua yang disahkan semasa dia berusia 34 tahun. Sejak itu, keadaan kesihatannya semakin merosot dan memerlukan pemantauan rapi serta rawatan berterusan, menjadikan kehidupan sosial dan masa depannya seakan-akan terhenti.
Dia tidak lagi mampu bekerja dan pada masa sama memerlukan rawatan dialisis secara berkala dengan kos kira-kira RM230 setiap sesi. Tidak hanya itu, dia juga mengalami komplikasi kesihatan satu demi satu seperti osteoporosis, kebas tangan, kulit kering dan tekanan darah tinggi, selain perlu mengawal ketat pengambilan air.
“Sejak menghidap penyakit buah pinggang, kehidupan seharian saya banyak terjejas. Saya perlu menjaga pemakanan dengan sangat ketat, kerap dimasukkan ke hospital dan menjalani dialisis secara berkala. Sudah hampir 15 tahun saya menunggu dalam derita, dan kini saya bagaikan tidak percaya akhirnya bakal menerima buah pinggang baharu,” katanya.
“Tanpa pendermaan organ ini, mana mungkin saya masih mampu hidup hingga hari ini. Pendermaan organ memberikan peluang hidup yang sangat bermakna. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga penderma atas kesediaan mereka membuat satu keputusan yang sukar ketika mereka sendiri dalam kesedihan. Saya berjanji akan menjaga diri dan tidak mensia-siakan hadiah bermakna ini,” ujarnya ketika dihubungi.
Selepas lebih tiga bulan menerima buah pinggang baharu, kehidupan Saras kian berubah. Jika dulu dia terpaksa mengawal pengambilan air, kini dia bebas minum sepuasnya selain dapat membuang air kecil secara normal - satu nikmat besar yang paling disyukurinya.
“Saya harap kisah saya ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya pendermaan organ, khususnya bagi pesakit mati otak. Mereka mungkin telah tiada di dunia ini, tetapi mereka sebenarnya menyelamatkan nyawa orang lain dan legasi mereka terus ‘hidup’ dalam diri penerima organ itu,” ujarnya.
MASIH RAMAI KURANG MEMAHAMI
Perlu diakui, salah faham terbesar masyarakat tentang mati otak ialah “kematian” otak itu sendiri kerana, masih ramai beranggapan seseorang masih lagi hidup disebabkan jantungnya masih berdegup, tubuh masih panas, dan dadanya turun naik seiring hembusan dan helaan nafas.
Namun hakikatnya, dalam tafsiran perubatan, “brain death” bermaksud seluruh fungsi otak telah berhenti secara kekal serta pesakit tidak ada lagi peluang untuk dipulihkan. Garis panduan Brain Death Versi 2/2025 yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia menekankan konsep dan entiti Kematian Otak /Kematian oleh Kriteria Neurologi (BD/DNC) sebagai diiktiraf dan diterima; dan BD/DNC itu sendiri bermaksud kematian yang kekal.
Selain tidak dapat menerima realiti ini dengan bersandarkan harapan orang kesayangan mereka masih dapat dipulihkan, faktor budaya dan kepercayaan tradisi turut menyumbang kepada kekangan pendermaan organ dalam kalangan pesakit mati otak.
Lim, seorang penganut Buddha, berkata dia percaya mati otak belum lagi “mati sepenuhnya” kerana organ lain masih berfungsi.
"Pendermaan organ ini amat digalakkan dalam agama kami, kerana boleh dianggap 'sedekah' dan perbuatan kebajikan besar. Bahkan perbuatan ini disokong oleh tokoh agama terkemuka kami Tok Guru Hsing Yun.
"Namun begitu, pendermaan organ hanya boleh dilakukan selepas penderma itu mati sepenuhnya, bukan sekadar mati otak, kerana kami takut perbuatan mengambil organ sebelum pesakit benar-benar mati boleh menyebabkan berlaku 'dendam' dan akan mengganggu ketenteraman roh di alam sana," jelas lelaki itu ketika dihubungi Bernama.
Bukan itu sahaja, Lim turut menjelaskan dalam agama Buddha ibu bapa mempunyai keputusan mutlak terhadap isu membabitkan anak kerana mereka dianggap sebagai “pencipta” anak. Justeru, kata Lim, walaupun si anak adalah pengikrar derma organ, keputusan akhir tetap di tangan ibu bapa.
Penganut Hindu, N. Kuvineswaren pula berkata walaupun agamanya menggalakkan amalan kebajikan termasuk pendermaan organ sebagai satu perbuatan mulia yang membawa pahala (karma baik), faktor emosi dan persetujuan keluarga terus menjadi cabaran utama.
Menurutnya, dalam masyarakat Hindu, restu dan kesejahteraan emosi ibu bapa amat dititikberatkan, malah kadangkala menjadi antara sebab proses pendermaan organ sukar dilaksanakan.
“Dalam budaya masyarakat kami, menjaga hati dan perasaan ibu bapa sering menjadi keutamaan. Oleh itu, tokoh agama perlu memainkan peranan untuk terus memberi penerangan dan mendidik penganut supaya lebih memahami bahawa pendermaan organ adalah satu perbuatan kebajikan yang boleh memberi manfaat besar kepada penerima yang menunggu bertahun-tahun,” katanya.
Alex yang menganuti agama Kristian pula berkata agama itu tidak menghalang pendermaan organ, namun isu timbul daripada keluarga.
“… ada salah faham kepercayaan bahawa tubuh seseorang itu mestilah sempurna apabila disemadikan sehingga menyebabkan emosi ahli keluarga menjadi kurang rasional untuk membenarkan organ diambil," jelas mahasiswa universiti awam tersebut.
HUKUM, HARAPAN DAN KEKELIRUAN
Kekeliruan mengenai status kematian otak dan pendermaan organ turut menjadi dilema dalam masyarakat Islam, menyebabkan dalam banyak keadaan, keputusan dibuat bukan berdasarkan maklumat perubatan yang lengkap, sebaliknya dipengaruhi emosi, kepercayaan peribadi serta kebimbangan terhadap status jenazah.
Menurut pegawai Jabatan Agama Islam PPUM Sarah Aqilah Mazuki, status kematian otak di Malaysia sebenarnya telah lama diiktiraf dari sudut syarak dengan sokongan oleh Majma’ Fiqh Islami di peringkat antarabangsa serta Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.
Tambahnya, mati otak dianggap sebagai kematian sebenar kerana situasi itu disahkan oleh doktor pakar bebas melalui prosedur yang ketat dan berlapis.
Mengulas isu menghentikan mesin sokongan hayat, beliau berkata Islam mengharuskan langkah itu jika pesakit disahkan tiada peluang untuk pulih dan mendapat persetujuan waris, memandangkan rawatan sedia ada tidak lagi memberi manfaat kepada pesakit.
Dari sudut pendermaan organ pula, beliau menjelaskan tindakan tersebut selari dengan prinsip maqasid syariah, iaitu “hifz al-nafs” atau memelihara nyawa manusia. Selain itu, kaedah darurat turut digunakan, iaitu memilih mudarat yang lebih kecil demi mengelakkan mudarat yang lebih besar.
Pendermaan organ turut dibenarkan selepas mematuhi beberapa syarat penting, antaranya tidak melibatkan unsur jual beli organ.
Menyentuh isu pendermaan antara umat Islam dan bukan Islam, beliau menjelaskan perbuatan tersebut dibenarkan selagi niatnya adalah untuk memberi manfaat dalam bentuk amal jariah demi menyelamatkan nyawa orang lain.
Tegasnya, isu dosa silang agama yang sering menjadi salah faham ahli masyarakat juga tidak timbul dalam konteks ini.
Pada masa sama, beliau menyanggah istilah “kejar organ” dalam sistem perubatan kerana hospital menjadikan rawatan pada pesakit sebagai satu keutamaan, dengan setiap daripada mereka akan diberikan rawatan sepenuhnya selagi ada.
“Kematian pula hanya disahkan selepas melalui prosedur yang sangat ketat. Oleh itu, memang tidak wujud istilah ‘kejar organ’ dalam sistem perubatan,” tegasnya lagi.
Kesimpulannya, pendermaan organ di Malaysia bukan satu proses yang longgar atau meragukan, sebaliknya dilaksanakan secara bersistem dan berlandaskan hukum.
Akan tetapi, walaupun garis panduan telah jelas, kadar persetujuan keluarga masih kekal rendah dengan Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) melaporkan hampir 90 peratus potensi pendermaan gagal disebabkan oleh penolakan keluarga walaupun pesakit merupakan seorang pengikrar derma organ.
Akibatnya, pesakit yang berada dalam senarai menunggu kebangsaan perlu menunggu lebih lama hingga berbelas tahun seperti Saras, sebelum tiba giliran mereka untuk menerima organ.