DUNIA

Houthi Dakwa Lancar Serangan Peluru Berpandu Bersama Iran, Hizbullah Ke Arah Israel

01/04/2026 11:36 PM

SANAA (Yaman), 1 April (Bernama-Anadolu) -- Kumpulan Houthi di Yaman mendakwa telah menyasarkan lokasi sensitif di selatan Israel menggunakan peluru berpandu balistik dalam satu operasi bersama Iran dan Kumpulan Hizbullah pada Rabu, Anadolu Ajansi (AA) memetik jurucakap tenteranya.

Kumpulan itu mengumumkan serangan berkenaan menerusi satu kenyataan di televisyen yang disampaikan oleh jurucakapnya, Yahya Saree.

“Pasukan kami telah menjalankan operasi ketenteraan ketiga yang menyasarkan lokasi sensitif musuh Israel di selatan Palestin yang diduduki dengan menggunakan sekumpulan peluru berpandu balistik,” kata Saree.

Beliau berkata serangan itu dilakukan “dengan penyelarasan bersama saudara-saudara kami di Iran dan Hizbullah di Lubnan,” serta mendakwa serangan itu “berjaya mencapai objektifnya” tanpa memberikan butiran lanjut.

Peningkatan ketegangan itu menyusul selepas amaran yang dikeluarkan oleh Houthi pada lewat Jumaat mengenai kemungkinan berlakunya “campur tangan tentera secara langsung” jika sekutu baharu menyertai Amerika Syarikat (AS) dan Israel menentang Iran, atau jika Laut Merah digunakan untuk operasi yang menyasarkan Tehran.

Sebelum ini, kumpulan berkenaan telah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta laluan perkapalan di Laut Merah sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Israel di Gaza, yang telah mengorbankan lebih 72,000 orang sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540023