JOHOR BAHRU, 3 April (Bernama) -- Seorang pengurus syarikat kerugian lebih RM1.3 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan melibatkan urusan jual beli tanah yang tidak wujud di Kulai, awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8 Jan lepas daripada seorang lelaki berusia 42 tahun.
Beliau berkata siasatan awal mendapati syarikat mangsa melalui peguam yang dilantik berminat untuk membeli sebuah hartanah sebelum menyerahkan deposit pembelian kepada sebuah firma guaman yang kononnya mewakili penjual bagi urusan itu.
“Bagaimanapun, mangsa kemudian dimaklumkan bahawa deposit tersebut telah dilepaskan kepada penjual walaupun urusan jual beli itu masih belum dimuktamadkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Tan berkata mangsa kemudian mendapati pemilik sebenar tanah itu tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menjual hartanah tersebut sebelum tampil membuat laporan polis selepas mengesyaki dirinya ditipu, dan mendakwa syarikatnya kerugian sebanyak RM1,338,163.20 susulan penipuan melibatkan firma guaman berkenaan.
Beliau berkata kes itu melibatkan cadangan pembelian tanah di Mukim Sedenak berkeluasan lebih 80 hektar, dan firma guaman terbabit dipercayai beroperasi di kawasan Kulai serta menjalankan aktiviti lebih 10 tahun.
“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat... suspek telah dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan bukti dokumen serta sokongan lain,” katanya.
Tan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menggunakan saluran yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), CCID Infoline dan Semak Mule bagi mendapatkan maklumat serta pengesahan berkaitan transaksi kewangan.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah komersial melalui Facebook Polis Diraja Malaysia.
-- BERNAMA