GEORGE TOWN, 6 April (Bernama) -- Seorang wanita berusia 27 tahun meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik sebuah hotel di Tanjung Tokong, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintenden Lee Swee Sake berkata pihaknya menerima laporan daripada sebuah hospital yang memaklumkan mengenai kematian wanita berasal dari Langkawi, Kedah itu pada 12.30 tengah hari.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama pasangannya datang ke Pulau Pinang untuk bercuti sejak 3 April lepas, dan menginap di hotel berkenaan.
“Kira-kira 9.30 pagi semalam, wanita itu dijumpai pasangannya tidak sedarkan diri semasa berehat di atas katil bilik hotel sebelum mangsa dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada 11.46 pagi ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lee berkata hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa serta siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematiannya.
Beliau berkata bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HPP hari ini, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan, dan bergantung kepada siasatan lanjut hasil keputusan analisis makmal.
Sehubungan dengan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA