AM

Getha Lancar Tilam Lateks Termaju, Pamer Kekuatan Malaysia Dalam Pembuatan Mampan

07/04/2026 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Jenama peralatan tidur premium tempatan, Getha melancarkan produk flagship terbaharunya, Tilam Transforme Miracle Latex PrimeFibre yang dipertingkatkan, menonjolkan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang dalam pembuatan bernilai tinggi, inovasi mampan dan teknologi lateks paling maju.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan dan Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Bahria Mohd Tamil berkata pelancaran itu mencerminkan keupayaan negara untuk mentransformasikan sumber tempatan menjadi produk yang berdaya saing di peringkat global.

“Ini merupakan contoh bagaimana syarikat Malaysia terus berinovasi, menambah nilai kepada sumber semula jadi negara serta memperkukuh reputasi negara dalam pembuatan premium dan pembangunan produk lestari.

“Inilah yang dikatakan sebagai ‘Made by Malaysia’; produk yang bukan sahaja dibuat di Malaysia, malah diilhamkan, direka dan dibangunkan melalui kepakaran dan kreativiti rakyat Malaysia,” katanya dipetik dalam kenyataan selepas majlis pelancaran tilam berkenaan di pusat beli-belah Sunway Pyramid, dekat sini semalam.

Getha dalam kenyataan itu memaklumkan, sejak diperkenalkan pada November 2025, tilam Transforme Miracle Latex telah membantu ribuan rakyat Malaysia menikmati tidur yang lebih lena, manakala versi tilam yang dipertingkatkan, Transforme Miracle Latex PrimeFibre Mattress disifatkan sebagai antara inovasi peralatan tidur semula jadi paling maju pernah dihasilkan syarikat itu setakat ini.

Menurut kenyataan itu, tilam premium berkenaan menggabungkan bahan Miracle Latex berasaskan teknologi proprietari Graphite+ bersama lapisan 100 peratus lateks semula jadi, sekali gus mengukuhkan lagi kaitan erat Getha dengan industri getah Malaysia yang terkenal di peringkat dunia.

Seiring dengan fokus kelestariannya, tilam berkenaan menggabungkan gentian kelapa bergetah serta BioCool, yang digambarkan sebagai fabrik penyejuk semula jadi pertama di Malaysia diperbuat daripada serat tebu, bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada bahan sintetik yang lazim digunakan dalam tilam konvensional.

Produk itu juga menampilkan Suprelle Cool Night pada lapisan quilt, lapisan gentian berprestasi tinggi yang dilengkapi teknologi Cool Flow Crimp bagi membantu mengurangkan haba sepanjang tempoh tidur.

Utamanya, tilam itu menggunakan formulasi lateks paling maju Getha, dengan teras Miracle Latex yang menawarkan sehingga empat kali lebih keanjalan berbanding bahan konvensional seperti gentian termampat atau foam, sekali gus memberikan sokongan badan yang lebih baik dan ketahanan yang lebih tinggi.

Ditawarkan pada harga bermula RM6,999, jenama peralatan tidur premium itu memperkenalkan promosi pelancaran yang menampilkan diskaun eksklusif 35 peratus dalam tempoh terhad berserta tawaran tukar beli sehingga RM1,500. Setiap pembelian turut disertakan sehingga dua bantal Miracle Latex yang bernilai RM399 setiap satu secara percuma, bergantung pada saiz tilam, menurut kenyataan itu.

Selain produk flagship itu, Getha turut memperluas capaian pasaran dengan menawarkan model alternatif pada harga lebih mampu milik secara dalam talian, menyasarkan golongan profesional muda dan pembeli rumah pertama dengan Tilam Miracle Latex ditawarkan pada harga bermula RM2,499. 

Sementara itu, Pengarah Projek Getha Kevin Tan berkata pembangunan produk tersebut turut dipacu oleh maklum balas pengguna yang mahukan tahap ketahanan dan keselesaan lebih tinggi, dan sejak pelancaran Tilam Transforme Miracle Latex pada November 2025, ribuan rakyat Malaysia telah menikmati kualiti tidur yang lebih baik melaluinya.

“Mendengar maklum balas pelanggan dengan teliti, kami memperkenalkan Tilam Transforme Miracle Latex PrimeFibre bagi mereka yang mencari tilam lebih premium, lebih tebal dan lebih teguh, sambil menawarkan Tilam Miracle Latex sebagai pilihan permulaan, khususnya untuk golongan profesional muda yang baru memulakan kerjaya,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan pelanggan juga boleh menikmati baucar dan rebat sehingga RM1,500 untuk model eksklusif dalam talian, dengan pelan ansuran serendah RM47 sebulan.

Dengan kehadiran di lebih 30 negara, Tan berkata pengembangan antarabangsa Getha disokong oleh geran penjenamaan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada 2006.

Syarikat itu telah dinobatkan sebagai pemenang World Branding Awards buat kali ke-10 sejak 2015, serta menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi kategori tilam lateks semula jadi pertama dengan teknologi Graphite+ serta tilam penyejuk semula jadi pertama dalam negara.

Strategi dwiproduk, yang menggabungkan inovasi utama dengan pilihan yang lebih mampu milik, dijangka memperkukuh kedudukan Getha dalam pasaran premium dan pasaran sedang berkembang sama ada di dalam atau luar negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.getha.com.my.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542244