JENAYAH & MAHKAMAH

Agresif Serang Polis, Lelaki Bersenjata Parang Cedera Ditembak Di Machang

09/04/2026 05:39 PM

KOTA BHARU, 9 April (Bernama) -- Seorang lelaki cedera ditembak selepas bertindak agresif menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang di hadapan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya menerima maklumat berhubung satu insiden tembakan di lokasi terbabit pada 11.17 malam sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang bergegas ke tempat kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

"Semasa pemeriksaan dijalankan ke atas dua individu lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan, seorang daripada mereka bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang dan melibas ke arah anggota polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek tersebut bagi mempertahankan diri serta mengelakkan kecederaan serius.

Mohd Yusoff berkata suspek yang cedera terkena tembakan di bahagian paha sempat melarikan diri sebelum berjaya ditahan menerusi satu operasi segera di kawasan berhampiran, manakala rakannya masih bebas dan usaha mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan.

"Suspek yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil serta direman tujuh hari. 

“Siasatan awal mendapati lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau yang signifikan, serius dan berulang termasuk dadah berbahaya, ugutan jenayah, kesalahan bahan kakisan, letupan serta senjata berbahaya, menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan  keganasan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, polis merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543003