AM

Penduduk Paka Kecewa Bekalan Air Payau, Berkarat

11/04/2026 10:51 AM

DUNGUN, 11 April (Bernama) -- Penduduk di Paka di sini kecewa dengan masalah bekalan air yang didakwa payau serta berkarat sehingga menjejaskan rutin kehidupan seharian mereka sejak Mac lepas.

Berikutan masalah itu, kebanyakan penduduk mendakwa terpaksa membeli air mineral kerana tidak selesa menggunakan bekalan air berkenaan untuk minum dan memasak.

Seorang penduduk, Aishah Ramli, 45, dari Kuala Paka berkata masalah bekalan air itu mula serius berlaku seminggu sebelum Aidilfitri dan berlarutan sehingga kini.

“Masalah bekalan air payau bukan perkara baharu di kawasan ini, sebaliknya kerap berulang sejak beberapa tahun lepas.

"Malah, penduduk juga sering menerima bekalan air berkarat terutama ketika berlaku tekanan air rendah," katanya kepada pemberita hari ini.

Seorang pengusaha restoran di Tebing Tembah, Nurul Miezan Qamaliena Mazidi, 23, berkata dia terpaksa membeli air mineral untuk menyediakan minuman kepada pelanggan berikutan masalah itu. 

Malah, dia juga mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli ais kerana tidak dapat memproses sendiri air batu kerana masalah bekalan air berkenaan.

“Saya terpaksa berbelanja hampir RM300 untuk membeli air mineral dan air batu bagi kegunaan di restoran dalam tempoh dua hingga tiga hari ini, berikutan masalah bekalan air yang diterima tidak memuaskan,” katanya.

Seorang penduduk di Taman Mulia Perdana, Tengku Harith Sufri Tengku Amran, 36, berkata penduduk tertekan apabila masalah bekalan air payau dan berkarat berlaku secara serentak sehingga membebankan kehidupan seharian.

Walaupun dia telah memasang penapis air di luar rumah, namun air yang diterima masih payau serta berkarat, dan pengguna yang tidak memasang penapis air akan berdepan keadaan yang lebih teruk.

“Saya telah melaporkan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk kepada Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) baru-baru ini untuk tindakan susulan bagi memastikan bekalan air yang diterima sentiasa berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Datuk Hanafiah Mat ketika dihubungi berkata bekalan air menjadi payau apabila muka sauk di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Bauk menerima kemasukan air masin susulan musim kering serta fenomena air pasang.

"Pihak SATU telah meningkatkan kapasiti bekalan di LRA Bukit Bauk bagi mengurangkan kesan air payau dengan menambah bekalan dari LRA Kemudi," katanya.

Beliau berkata bekalan air berkenaan menjejaskan sebanyak 26,883 akaun pengguna SATU di Paka sejak Mac lepas.

Jumlah akaun pengguna itu melibatkan 11,675 akaun di Zon Paka, 10,552 akaun di Zon Dungun serta 4,167 akaun di Kerteh 2, Kerteh 3 dan Ketengah Jaya.

“Masalah bekalan air payau itu dijangka berlarutan di kawasan berkenaan hingga September ini, iaitu sepanjang tempoh Monsun Barat Daya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543578