TELUK INTAN, 11 April (Bernama) -- Sejumlah RM47.44 juta diperuntukan bagi pelaksanaan projek pembangunan di Parlimen Teluk Intan bagi tahun 2026 menerusi Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 4.0.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata jumlah itu termasuk RM6.87 juta bagi pelaksanaan 16 projek infrastruktur kemudahan awam.
“Selain itu, Kerajaan MADANI turut memperuntukkan RM40.5 juta kepada SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Kampung Bahagia dan SK (Sekolah Kebangsaan) Kampung Bahagia, manakala Pejabat Ahli Parlimen Teluk Intan menyumbang RM72,000 untuk 24 masjid, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan Sentuhan Kasih ini sebanyak RM47.44 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mohd Jamil Idris.
Nga berkata bagi peruntukan RM6.87 juta di bawah KPKT ia meliputi skop pembangunan 10 projek infrastruktur dan kemudahan awam oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) melibatkan peruntukan RM4,240,000.
Sementara itu, peruntukan sebanyak RM454,400 bagi kerja naik taraf Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, RM300,000 bagi fasa awal Projek Residensi Rakyat (PRR) Teluk Intan (kos keseluruhan RM96 juta); RM100,000 bagi penyelenggaraan loji rawatan kumbahan di PPR Pangsapuri Laksamana Amanjaya dan Rumah Pangsa Jalan Laksamana.
Turut termasuk ialah peruntukan RM80,000 untuk Program Baik Pulih Rumah melibatkan empat unit rumah.
Terdahulu, Nga meninjau beberapa projek termasuk di SMK Kampung Bahagia; Projek RMR di Mukim Durian Sebatang; Taman Rekreasi MADANI di Taman Indah Jaya 2 dan Taman Teluk Intan serta di PPR Pangsapuri Laksamana Amanjaya (penyelenggaraan lif dan kemudahan).
Pada majlis sama, beliau menyampaikan cek cura kepada dua penerima Program Baik Pulih Rumah serta simbolik penyerahan keseluruhan peruntukan Sentuhan Kasih 2026 kepada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
-- BERNAMA