KUCHING, 12 April (Bernama) -- Sebanyak 26 warga asing ditahan dalam Ops Gegar dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak di sebuah premis hiburan sekitar Niah, Miri, awal pagi tadi.
JIM Sarawak dalam kenyataan memaklumkan operasi itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan selama beberapa minggu terhadap premis tersebut yang pemiliknya disyaki menggaji serta melindungi warga asing tanpa dokumen sah.
“Dalam operasi bermula sekitar 1 pagi itu, sebanyak 31 individu diperiksa terdiri daripada lima warga tempatan dan 26 warganegara Indonesia. Hasil pemeriksaan mendapati hanya empat daripada warga asing tersebut memiliki pasport manakala selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah.
“Kesemua 26 warga asing tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara, tinggal lebih masa serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” menurut kenyataan itu.
JIM Sarawak memaklumkan tangkapan dibuat di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati majikan atau pemilik premis dipercayai menggaji warga asing tanpa permit kerja sah serta membenarkan kehadiran pendatang tanpa izin di premis berkenaan.
“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bekenu untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA