SUKAN

Skuad Sepak Takraw Iran Tetap Mahu Beraksi Pada Piala Dunia 2026 - Abdul Halim

12/04/2026 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Skuad Iran masih berminat untuk beraksi pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini bulan depan.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader berkata skuad Iran ketika ini masih berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Malaysia dari Turkiye, bagi memastikan mereka tetap bersaing pada kejohanan itu, di sebalik konflik Asia Barat.

“Dari Tehran mereka (Iran) akan pergi ke Turkiye melalui jalan darat, kemudian mereka terbang ke Kuala Lumpur. Iran tetap mahu bertanding walaupun kos tiket meningkat.

“Kami juga akan minta Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sekiranya Iran memerlukan sebarang bantuan untuk datang ke sini,” katanya pada sidang media di Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia hari ini.

Iran antara 14 negara termasuk tuan rumah Malaysia yang akan beraksi bagi kategori Premier yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 23 Mei ini berbanding tarikh asal 12 hingga 24 Mei.

Negara lain yang bertanding dalam kategori Premier adalah Thailand, Singapura, Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Brunei, Filipina, Myanmar, Vietnam, China dan Taiwan.

Dalam pada itu, Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata mereka terpaksa mengubah tarikh kejohanan kerana status pasukan yang beraksi bagi saingan Divisyen 1 masih menjadi tanda tanya.

Beliau berkata hampir separuh daripada keseluruhan 12 pasukan bagi saingan Divisyen 1 termasuk dari Eropah masih belum memberi kata putus susulan konflik di Asia Barat.

“Kami sedang berfikir sama ada mahu teruskan atau tidak sebab yang mengesahkan boleh hadir hanya dua negara, iaitu Pakistan dengan Sri Lanka.

“Kami akan buat pengundian 15 April ini untuk kategori Premier manakala bagi Divisyen 1 akan ditangguhkan dahulu. Sekiranya hanya ada dua atau tiga pasukan, kami terpaksa batalkan dan tumpukan kepada kategori Premier,” katanya.

Terdahulu, Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia menerima tajaan peralatan sepak takraw antaranya jaring dan bola daripada jenama Marathon berjumlah RM1 juta selama lima tahun.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543986