AM

34 Pelajar Thailand Ditahan Lintas Sungai Golok Guna Laluan Tidak Sah

12/04/2026 05:37 PM

PASIR MAS, 12 April (Bernama) -- Kesemua 34 pelajar warga Thailand yang dikesan memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan di sebuah pangkalan haram dekat Rantau Panjang di sini pagi tadi ditahan bagi menjalani proses dokumentasi.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kesemua pelajar berkenaan belajar di sebuah sekolah menengah dan dua sekolah rendah, termasuk sekolah agama melibatkan 22 perempuan dan 12 lelaki berusia antara tujuh hingga 16 tahun.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal polis, kumpulan pelajar itu dikesan kira-kira 7 pagi ketika sepasukan anggota Strike Force/Tiger Platoon Kompeni A Batalion 9 PGA Kuala Terengganu sedang menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan.

“Anggota bertugas telah melihat sekumpulan pelajar menaiki bot secara berperingkat dari arah Thailand sebelum menghampiri tebing sungai di pangkalan haram berkenaan.

“Kesemua mereka kemudiannya turun dari bot dan memasuki kawasan negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan pelajar itu dibawa ke Komtek Taman Bakti untuk tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544026