PUTRAJAYA, 12 April (Bernama) -- Insiden tular di sebuah stesen minyak di Jalan Segambut, Kuala Lumpur melibatkan meter pam terus merekodkan jumlah bayaran walaupun bekalan diesel habis, berpunca daripada ketiadaan sistem pengesan isi padu automatik.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata siasatan mendapati stesen minyak itu tidak dilengkapi sistem pengesan isi padu automatik atau ciri automatic cut-off apabila stok kehabisan sebaliknya bergantung kepada kaedah pemeriksaan manual atau manual dipping.
“Semakan turut mengesahkan jumlah sebenar diesel yang diisi ialah sebanyak RM232.07 dan pihak stesen telah mengambil tindakan segera dengan memulangkan semula bayaran penuh kepada pelanggan terlibat pada 9 April 2026.
“Pihak pengadu telah bersetuju dengan penyelesaian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fuziah berkata siasatan segera terhadap insiden itu dijalankan oleh pasukan penguat kuasa KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Beliau berkata pemeriksaan teknikal juga mendapati semua pam minyak di premis itu masih berada dalam tempoh tentusah yang sah dan ujian menggunakan Sukat Isipadu Cecair (SIC) 20 liter menunjukkan bacaan sukatan berada dalam had selisih yang dibenarkan.
Selain itu, semakan ke atas lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 mendapati Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) stesen terlibat juga sah dan masih berkuat kuasa.
“Walau bagaimanapun, pihak stesen telah diberikan amaran keras agar memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan perundangan dan meningkatkan pemantauan operasi bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.
Beliau berkata KPDN ingin menegaskan bahawa kejadian itu bersifat terpencil dan tidak mencerminkan keadaan keseluruhan sistem bekalan bahan api yang kekal stabil dan terkawal.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” katanya.
-- BERNAMA