KOTA BHARU, 13 April (Bernama) -- Peserta projek tanaman hidroponik di Kampung Sri Kulim, Melor menggali dua telaga tiub dengan kos hampir RM2,000 untuk membantu komuniti setempat menangani cabaran cuaca panas dan memastikan bekalan sayur-sayuran terus mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sri Kulim Badrul Hisham Yaacob berkata air dari telaga itu dipam ke dalam tangki sebelum disalurkan ke setiap tanaman melalui sistem paip dan injap automatik.
“Paras air dan baja juga perlu dipantau setiap hari bagi memastikan tanaman sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Pendekatan ini terbukti berkesan apabila tanaman, terutama timun kecil dapat hidup dengan lebih subur dan menghasilkan kualiti yang baik walaupun dalam keadaan cuaca panas,” katanya ketika ditemui di Padang Raja, Melor di sini hari ini.
Badrul Hisham berkata sistem hidroponik itu menggunakan aliran air berterusan selama 24 jam, sekali gus mempercepatkan tempoh matang tanaman seperti timun kecil yang boleh dituai dalam tempoh tiga minggu sahaja.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 12 peserta terlibat dengan penanaman pelbagai jenis sayuran seperti kangkung, salad dan pak choy.
Peserta projek Che Hamid Che Omar, 66, berkata walaupun sistem hidroponik dilihat mudah, ia memerlukan disiplin tinggi, terutama dalam memastikan bekalan air mencukupi kerana tanaman boleh mati sekiranya tidak dipantau dengan rapi.
“Projek ini bukan sahaja memberi peluang kepada penduduk kampung menjana pendapatan sampingan, malah turut melibatkan golongan asnaf dan ibu tunggal.
“Hasil tanaman dijual sendiri oleh peserta melalui platform media sosial seperti WhatsApp dan TikTok, selain secara jualan terus kepada penduduk setempat dan pemborong,” katanya.
-- BERNAMA