EKONOMI

Kurangnya Perpaduan GCC Rumitkan Perang Iran, Kata Ahli Akademik

13/04/2026 06:39 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Kekurangan perpaduan dalam kalangan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dilihat menjadi antara faktor penyumbang kepada kerumitan yang semakin meningkat dalam perang di Iran, kata seorang ahli akademik.

Penolong Profesor Ekonomi Perniagaan di Fakulti Sains Sosial Universiti Nottingham Malaysia Dr Tan Chee Meng berkata hal ini kerana sebahagian negara GCC sebenarnya mahukan peperangan.

Katanya ada yang mendesak untuk diplomasi manakala sebahagian lagi lebih mengutamakan strategi untuk menyekat pengaruh Iran.

Beliau menjelaskan setiap negara mempunyai kepentingan dan pendirian masing-masing berhubung konflik berkenaan dan ketiadaan perpaduan ini menjadikan peperangan itu semakin sukar untuk dibendung.

“Saya berpendapat jika pemegang taruh utama dalam GCC pun berdepan kesukaran untuk menangani isu Iran, anda boleh bayangkan negara-negara seperti Malaysia atau negara lain di seluruh dunia yang merupakan kuasa sederhana atau kecil dan tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut selain turut bergelut untuk menanganinya.

“Ya, ketiadaan perpaduan merupakan satu isu. Sebagai sebahagian daripada ASEAN, kumpulan berkenaan perlu mencari jalan memantapkan perpaduan demi memastikan satu pendirian bersama dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu dalam program Bernama World bertajuk ‘Who Controls Shipping Through Hormuz?’ terbitan Bernama TV hari ini.

Tan menegaskan negara perlu memberi perhatian kepada perpaduan bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

“Kita seharusnya memberi sokongan padu kepada pihak yang sedang berusaha membawa impak positif dan berharap agar situasi ini akan pulih serta bertambah baik pada akan datang,” tambahnya.

Beliau berkata Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan lonjakan harga minyak dengan kebanyakan negara pengimport minyak yang lain turut berdepan cabaran serupa.

“Kita sedang melalui tempoh yang sangat membimbangkan. Saya berpendapat kita mesti bersiap sedia untuk berdepan masa sukar yang mendatang jika peperangan ini tidak menemukan jalan penyelesaian," katanya.

Sementara itu, Tan berkata di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), tidak ada negara khusus yang memiliki Selat Hormuz.

Katanya, wujud kawalan yang terikat dengan faktor geografi merangkumi jarak tertentu dalam kilometer dari pesisir pantai, namun hak milik secara mutlak sebenarnya tidak wujud.

“Apa yang dilakukan Iran menyamai satu bentuk sekatan iaitu daripada perspektif ramai pakar undang-undang antarabangsa, ia dianggap sebagai menyalahi undang-undang.

“Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekarang, dalam beberapa cara, adalah serupa. Walaupun AS menyatakan ia tidak menyekat selat tersebut, namun, secara berkesan ia menyasarkan kapal-kapal yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran serta kapal-kapal yang membayar cukai atau tol kepada rejim Iran,” katanya.

Langkah Presiden AS, Donald Trump ketika ini juga dilihat mempunyai persamaan.

Walaupun AS menafikan melakukan sekatan di selat itu, hakikatnya mereka menyasarkan kapal yang berurusan dengan pelabuhan Iran atau yang membayar cukai kepada rejim tersebut, katanya.

“Tindakan berkenaan mungkin bertujuan menekan rejim Iran melalui sekatan akses terhadap laluan air atau sebahagian daripadanya yang menjadi jalan masuk ke pelabuhan-pelabuhan tersebut.

“Selama mana pelabuhan ini dikenakan sekatan dan sumber pendapatan Iran semakin menyusut, saya yakin AS cuba mendesak Iran kembali berunding untuk menamatkan konflik ini berdasarkan syarat-syarat yang memihak kepada kepentingan mereka," katanya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544422