JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Polis Direman Berkaitan Kes Rasuah Sebagai Balasan Lepaskan Pekerja Rumah Urut

13/04/2026 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Dua anggota polis direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM10,000 daripada empat pekerja rumah urut yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial. 

Perintah reman sehingga 17 April itu dikeluarkan oleh Majistret Arunjothy M. Selvaraju di Mahkamah Majistret di sini, selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam operasi berasingan di sekitar ibu kota dan pejabat SPRM Kuala Lumpur antara 11 malam semalam hingga 5 pagi tadi.

"Wang tersebut dipercayai sebagai balasan untuk melepaskan empat pekerja rumah urut yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi tujuan pekerjaan," katanya kepada Bernama.

Sumber memaklumkan kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai berjumlah RM7,000 pada sebelah pagi, manakala baki RM3,000 lagi diserahkan pada sebelah malam hari yang sama sebelum penahanan dibuat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544434