EKONOMI

AUM Perkasa Usahawan Mikro, Jualan Lebih RM5.5 Juta Di Melaka

13/04/2026 08:01 PM

MELAKA, 13 April (Bernama) -- Program Agrobank Upward Migration (AUM) terus mengukuhkan pembangunan usahawan mikro di negara ini dengan Melaka merekodkan jualan melebihi RM5.5 juta, sekali gus mencerminkan pertumbuhan perniagaan yang memberangsangkan hasil bimbingan dan sokongan berterusan Agrobank.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata program itu menyasarkan pemain industri kecil dan sederhana (IKS), khususnya usahawan mikro, bagi mempergiatkan aktiviti perniagaan melalui latihan, bimbingan serta kemudahan pembiayaan.

“Pihak kami menyasarkan antara 30 hingga 50 usahawan di setiap negeri untuk dibimbing menerusi program berkenaan, termasuk melalui penganjuran anugerah keusahawanan sebagai platform mengiktiraf pencapaian peserta.

“Kami turut menyediakan latihan peningkatan kapasiti seperti pengurusan kewangan selain bimbingan secara ‘coaching’ dan ‘mentoring’, serta kemudahan pembiayaan kepada usahawan berpotensi untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspirasi Kecemerlangan Usahawan Agrobank 2026 di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata secara keseluruhan di peringkat nasional, program itu berjaya meningkatkan jumlah jualan sehingga RM38.7 juta tahun lalu melibatkan kira-kira 200 usahawan mikro di bawah bimbingan Agrobank.

Beliau berkata terdapat sebanyak 240 peserta menyertai program tersebut tahun lalu dan menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tempoh bimbingan selama setahun.

“Setiap tahun kita melihat peningkatan positif dari segi jualan, malah ramai usahawan berjaya mengembangkan perniagaan dengan menambah antara lima hingga 10 pekerja, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata program AUM yang dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Agrobank  (ACE) merupakan program pembangunan usahawan selama 12 bulan yang menggabungkan latihan berstruktur serta bimbingan secara langsung di premis perniagaan.

“Modul yang ditawarkan merangkumi pengurusan kewangan, pemasaran digital serta amalan pengurusan perniagaan berstandard korporat.

“Kejayaan program ini bukan sahaja meningkatkan prestasi perniagaan peserta, malah mencetuskan semangat dalam kalangan pemain industri mikro untuk terus berkembang secara mampan,” katanya.

Beliau berkata Agrobank akan terus komited memperkasa usahawan tempatan melalui pendekatan holistik bagi membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi di seluruh negara.

Sementara itu, salah seorang peserta, Izzati Hamidah Sharil, 28, yang merupakan pengeluar kuih tradisional berkata perniagaannya berkembang daripada operasi di dapur rumah pada 2022 kepada kapasiti pengeluaran sehingga 300 kilogram keledek sehari, sekali gus menghasilkan lebih 10,000 biji kuih keria, termasuk inovasi produk seperti keria pistachio.

Katanya, melalui penyertaan dalam program berkenaan, beliau kini mampu meluaskan pasaran, memiliki kedai sendiri, selain menambah tenaga kerja kepada 15 pekerja dalam bahagian pengeluaran dan pemasaran serta menambah mesin bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544467