AM

Kebun Komuniti Benteng Awal Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara

14/04/2026 11:33 AM

Oleh Nabila Uzma Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Inisiatif kebun komuniti di kawasan bandar dilihat berpotensi menjadi ‘benteng awal’ dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara, khususnya bagi mendepani cabaran ketidaktentuan bekalan akibat krisis tenaga global.

Timbalan Pengarah (Pengembangan Pertanian) Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Norsida Man berkata program seperti Kebuniti MADANI berperanan sebagai lapisan keselamatan makanan yang strategik di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar inisiatif berkenaan diperluas kepada skala lebih besar dengan memanfaatkan kaedah pertanian moden seperti hidroponik dan sistem fertigasi, khususnya di kawasan bandar.

“Inisiatif ini boleh diperkasakan dengan mewujudkan kebun berskala lebih besar menggunakan tanah kosong di kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), selain di kawasan sekolah, masjid dan sebagainya.

“Pada masa sama, latihan serta pendidikan berkaitan pertanian bandar perlu diperluas bagi meningkatkan kemahiran komuniti,” katanya kepada Bernama ketika mengulas potensi kebun komuniti sebagai pendekatan mampan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Dalam pada itu, Norsida berkata Kebuniti MADANI juga berupaya menjadi pemangkin ekonomi setempat melalui penjanaan pendapatan daripada jualan lebihan hasil tuaian.

Katanya model ekonomi komuniti boleh diperkasakan melalui pembentukan koperasi atau pusat jualan setempat bagi memastikan pengurusan hasil pertanian lebih sistematik dan tersusun.

“Tanaman yang sesuai untuk kebun komuniti ialah tanaman yang cepat dituai dan mudah diurus seperti sayur-sayuran serta buah-buahan, selain tanaman jangka pendek seperti pokok tin, limau purut dan limau kasturi,” katanya.

Kebuniti MADANI merupakan inisiatif kerajaan bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta mengurangkan kos sara hidup menerusi pertanian komuniti, khususnya di kawasan bandar.

Program itu turut menggalakkan penduduk bercucuk tanam secara bersama, sekali gus memupuk perpaduan masyarakat serta membuka peluang penjanaan pendapatan melalui hasil pertanian.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Agroekologi Malaysia (SRI-Mas) Dr Anni Mitin berkata usaha memperkukuh kebun komuniti perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam kerangka sistem makanan yang lebih tersusun.

Beliau menegaskan aspek pengeluaran benih tempatan melalui kaedah simpanan dan pertukaran perlu diberi perhatian, selain penghasilan baja semula jadi bagi mengurangkan kebergantungan kepada input luar serta mengelakkan pencemaran akibat penggunaan racun.

Selain itu, Anni berkata perancangan dasar dan bandar juga perlu menyokong konsep kejiranan hijau dengan menyediakan kawasan atau ruang awam hijau dalam pembangunan perumahan.

“Di negara maju, seperti Austria, terdapat kawasan khas di bandar yang diperuntukkan atau boleh disewa untuk pertanian komuniti secara jangka panjang,” katanya.

--  BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544594