JOHOR BAHRU, 14 April (Bernama) -- Sambutan Vaisakhi oleh penganut Sikh bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya menjadi platform memperkukuh perpaduan dan penglibatan komuniti pelbagai kaum melalui pendekatan terbuka serta aktiviti berasaskan kebersamaan.
Ketua Belia Sikh Johor yang juga Duta Perpaduan negeri Ahsmit Singh berkata Vaisakhi membawa mesej penyatuan masyarakat serta mengingatkan kepentingan hidup harmoni, saling menghormati dan bekerjasama dalam kepelbagaian.
Beliau berkata sambutan itu turut menjadi ruang untuk mendoakan kesejahteraan negara serta memastikan komuniti Sikh terus berkembang dengan semangat positif.
“Sambutan Vaisakhi di Gurdwara diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk bacaan kitab Sri Guru Granth Sahib Ji melalui Akhand Path Sahib selama 48 jam serta program komuniti seperti dapur terbuka atau langar yang menyediakan makanan secara sukarela kepada semua pengunjung,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata bacaan kitab suci itu menjadi asas kepada sambutan Vaisakhi yang menekankan penghayatan kerohanian serta amalan hidup berteraskan ajaran Sikh manakala nyanyian pujian (hymns) atau kirtan turut menjadi elemen penting dalam setiap sambutan sebagai tanda pengabdian dan penghayatan spiritual komuniti.
“Upacara pengibaran bendera Nishan Sahib atau Nishan Sahib Selami turut diadakan dan disertai oleh seluruh komuniti sebagai simbol penghormatan serta perpaduan,” katanya.
Ahsmit berkata sambutan itu bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti keagamaan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan sesama komuniti serta masyarakat pelbagai kaum di Johor.
Beliau berkata amalan langar, iaitu hidangan komuniti adalah elemen penting dalam agama Sikh yang menekankan nilai kesamarataan, apabila makanan disediakan secara percuma kepada semua tanpa mengira kaum atau agama.
“Makanan vegetarian seperti capati, dal dan sayur-sayuran dihidangkan, selain tambahan makanan tempatan seperti nasi lemak, mencerminkan kepelbagaian budaya di Malaysia,” katanya.
Ahsmit berkata keseluruhan penyediaan makanan dilakukan di dapur komuniti Gurdwara yang digerakkan sepenuhnya oleh sukarelawan, termasuk golongan muda dan warga emas.
Beliau berkata komuniti Sikh dianggarkan mencecah kira-kira 10,000 orang di Johor Bahru manakala di seluruh Johor pula sekitar 30,000 orang, sekali gus menunjukkan kehadiran komuniti itu yang signifikan dalam negeri berkenaan.
-- BERNAMA