KULIM, 15 April (Bernama) -- Seramai 119 warga asing ditahan menerusi Ops Sapu yang dijalankan di sebuah tapak pembinaan di Padang Meha dekat sini, semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.
“Dalam operasi bermula pada 10 pagi, seramai 155 individu diperiksa yang terdiri daripada warganegara tempatan serta asing dan hasil pemeriksaan mendapati seramai 119 lelaki warganegara asing ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Tangkapan melibatkan warganegara Pakistan, Bangladesh, India dan China yang berumur antara 20 hingga 58 tahun. Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Kedah untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang Imigresen negara.
-- BERNAMA