IPOH, 16 April (Bernama) -- Sebanyak 4,848 kes penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian mencecah RM124,989,768.55 direkodkan di Perak pada tahun lepas, yang menyaksikan trend peningkatan kes dalam kalangan pelajar, Dewan Undangan Negeri diberitahu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa kes penipuan dalam talian di Perak pada 2025 melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, pekerjaan mahupun latar belakang, termasuk pelajar, penjawat awam, pesara dan sektor swasta.”
“Didapati juga bahawa mangsa lelaki dan wanita adalah hampir seimbang, manakala warga emas dikenal pasti sebagai golongan paling terdedah, namun trend terkini menunjukkan peningkatan kes dalam kalangan pelajar,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong May Ing (PH-Pantai Remis) berkenaan pelan tindakan jangka pendek dan panjang kerajaan negeri untuk mengurangkan kadar kejadian penipuan dalam talian yang semakin serius di Perak.
Mohd Azlan berkata antara bentuk penipuan paling kerap berlaku ialah penipuan telekomunikasi seperti panggilan palsu dan phishing (pancing data), diikuti penipuan pelaburan tidak wujud, penipuan e-dagang, love scam (penipuan cinta), serta penipuan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih dan sukar dikesan.
Beliau berkata selain inisiatif yang dilaksanakan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), sepanjang tahun lepas Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di 906 sekolah di seluruh negeri Perak dengan penglibatan semua peringkat pelajar rendah dan menengah.
“Bagi 2026, program ini seterusnya akan diperluas lagi ke kampung, mukim dan daerah dalam memastikan mesej keselamatan Internet, termasuk penipuan dan jenayah digital sampai ke segenap lapisan masyarakat dan komuniti dengan informasi lebih mudah difahami dan dihayati,” katanya.
Untuk langkah jangka panjang, beliau berkata kerajaan memberikan penekanan kepada pendidikan literasi digital, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analisis data bagi pengesanan awal, pengukuhan undang-undang serta tindakan tegas terhadap sindiket penipuan dan akaun keldai.
Selain itu, ekosistem keselamatan kewangan negara turut diperkukuh melalui kerjasama rentas agensi serta perhatian khusus diberikan kepada perlindungan golongan berisiko seperti warga emas, pesara dan pelajar melalui pelbagai program pencegahan yang lebih bersasar.
“Penekanan diberikan kepada pendidikan literasi digital, penggunaan teknologi AI dan analisis data bagi pengesanan awal, serta pengukuhan undang-undang termasuk tindakan tegas terhadap sindiket dan akaun keldai. Ekosistem keselamatan kewangan turut diperkasakan melalui kerjasama antara agensi berkaitan,” katanya.
-- BERNAMA