PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Malaysia dan Australia menyatakan sokongan padu terhadap seruan Paus Leo untuk keamanan global, dengan menggesa negara-negara supaya meneruskan dialog dan keadilan bagi menyelesaikan konflik serta mencegah penderitaan kemanusiaan yang berterusan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesej Paus Leo itu merupakan seruan moral sejagat yang melangkaui sempadan agama, dengan menegaskan bahawa seruan untuk keamanan harus disokong oleh semua penganut agama dan negara-negara.
“Albanese (Perdana Menteri Australia) seorang Katolik, saya seorang Muslim, tetapi kita mempunyai persamaan. Kita sangat menghormati Paus Leo di Vatican,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia berkongsi hasrat Paus Leo untuk keamanan, keadilan dan penamatan kekejaman, sambil menegaskan bahawa masyarakat dunia perlu bersatu menolak keganasan dan ketidakadilan, khususnya di wilayah bergolak seperti Gaza dan Timur Tengah.
Anwar turut menekankan usaha Paus Leo untuk melibatkan pemimpin pelbagai agama, termasuk sarjana Islam, sambil menyifatkan dialog antara agama sebagai penting dalam memupuk persefahaman bersama dan kestabilan global.
Sementara itu, Albanese berkata Paus Leo akan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam Gereja Katolik, tetapi juga dalam membentuk wacana global mengenai keamanan dan nilai kemanusiaan, sekali gus meneruskan legasi penglibatan antara agama yang diperjuangkan oleh pendahulunya.
Beliau berkata konflik moden membawa kesan yang jauh melangkaui sempadan negara, menjejaskan nyawa orang awam serta kestabilan ekonomi global, sekali gus mengukuhkan keperluan kepada penyelesaian secara aman melalui diplomasi.
“Kami akan terus berhujah untuk de-eskalasi dan penyelesaian melalui dialog, bukannya melalui tindakan ketenteraan,” katanya.
Pada 12 April lepas, Paus Leo XIV menggesa agar pertempuran dihentikan dalam satu seruan tegas ketika rundingan sedang berlangsung di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh dalam perang Iran-Amerika Syarikat-Israel.
Paus Leo turut mengkritik penyalahgunaan agama untuk mewajarkan keganasan serta mengecam usaha mendapatkan kuasa yang dikaitkan dengan kekerasan.
Seruan keamanan oleh Paus Leo itu semakin meningkat, khususnya berkaitan perang di Iran, dan beliau mengecam ancaman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap Tehran dengan ketegasan luar biasa, menyifatkannya sebagai “benar-benar tidak boleh diterima.
-- BERNAMA