JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Syarikat Didenda RM264,000 Kemuka Invois Palsu Jualan Minyak Masak

16/04/2026 07:53 PM

IPOH, 16 April (Bernama) -- Tiga syarikat pembungkusan minyak masak didenda sejumlah RM264,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 24 pertuduhan memberikan maklumat palsu berhubung invois penjualan barang kawalan tersebut, dua tahun lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman denda RM11,000 bagi setiap pertuduhan selepas pengarah ketiga-tiga syarikat berkenaan membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Syarikat terbabit ialah Usaha Prasarana Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Ooi Yien Wei, 29, Arcadia Odyssey Sdn Bhd diwakili Kan Shy Ling, 32, manakala Aksi Sentral Sdn Bhd diwakili Kan Cheng Hui, 31.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga syarikat itu yang masing-masing didakwa dengan lapan pertuduhan, mengemukakan maklumat palsu dalam borang arahan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung invois penjualan minyak masak kepada beberapa syarikat perdagangan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat masing-masing di Lapangan Setia, Pusat Perniagaan Lang Indah dan Pusat Perdagangan Jelapang di sini, antara 11.45 pagi hingga 4.30 petang, 9 Ogos 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2 juta bagi badan korporat, manakala tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kali kedua, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin serta Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad Hanif Abd Azis, manakala kesemua Orang Kena Saman (OKS) diwakili peguam Mohd Khairul Fairuz.

Dalam rayuan ketiga-tiga syarikat itu, Mohd Khairul memohon hukuman denda RM11,000 dengan alasan ia kesalahan pertama dan kuota minyak masak semua syarikat terbabit ditarik balik oleh kerajaan susulan kes berkenaan, selain mereka memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dan faktor pengakuan bersalah telah menjimatkan masa mahkamah.

Mohd Khairul turut memaklumkan satu representasi yang difailkan kepada pihak pendakwaan sebelum ini telah bersetuju dengan nilai denda itu, selain barang rampasan seperti mesin dan peralatan bungkusan dipulangkan semula kepada pihak syarikat.

Mohamad Nazreen pula memohon supaya pihak mahkamah mengambil kira kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman terhadap OKS dan memaklumkan pihak pendakwaan bersetuju dengan representasi yang difailkan berkenaan denda, nilai dilucuthak kepada kerajaan serta barang rampasan harta alih, selain dokumen dikembalikan kepada pemilik asal.

Mahkamah kemudiannya menetapkan denda RM11,000 untuk setiap pertuduhan bagi ketiga-tiga syarikat, dengan wang hasil jualan barang sitaan berjumlah RM101,807.30 dilucuthakkan kepada kerajaan, manakala barang rampasan selain dokumen dikembalikan kepada pemilik asal.

Berdasarkan fakta kes, pada 9 Ogos 2024, sepasukan anggota dari Bahagian Penguat kuasa KPDN Negeri Perak membuat pemeriksaan Op Tiris melibatkan barang kawalan bersubsidi iaitu minyak masak di ketiga-tiga premis berkenaan.

Ketika pemeriksaan, syarikat terbabit gagal menyelenggara buku stok barang kawalan bagi minyak masak dan siasatan kemudiannya mendapati, invois-invois berhubung transaksi penjualan minyak masak adalah palsu kerana transaksi sebenar tidak berlaku.

Berikutan itu, sejumlah 51,507.15 kilogram minyak masak dengan nilai keseluruhan berjumlah RM101,807.30 telah disita dan diambil tindakan.

Sebelum ini, media melaporkan KPDN menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 dalam siri serbuan di Perak, Selangor dan Johor, pada 9 Ogos 2024.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam dilaporkan berkata serbuan dilakukan hasil risikan beberapa bulan ke atas tiga syarikat di tiga negeri berkenaan yang membabitkan ketirisan subsidi berjumlah RM20 juta.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2545651