KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melantik semula Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal sebagai Pengerusi SKM, yang berkuat kuasa semalam.
SKM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh peranan suruhanjaya berkenaan sebagai badan peneraju pembangunan gerakan koperasi negara selaras dengan aspirasi kerajaan memperkasakan sektor itu sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi inklusif, mampan dan berdaya saing.
“Pelantikan ini juga mencerminkan komitmen berterusan SKM dalam memastikan agenda pembangunan koperasi terus dipacu secara strategik, progresif dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Kepimpinan akan meneruskan usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperluas impak gerakan koperasi kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
SKM turut menzahirkan keyakinan bahawa gerakan koperasi di bawah kepimpinan Ahmad Norihan akan terus berkembang maju, berdaya tahan dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara.
-- BERNAMA