AM

UMS Berpotensi Jalan Kerjasama Dengan Universiti Pristina, Kosovo

17/04/2026 09:13 PM

KOTA KINABALU, 17 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pristina, Kosovo, berpotensi menjalinkan kerjasama dan kolaborasi dalam pelbagai program, susulan lawatan akademik UMS ke universiti luar negara itu baru-baru ini.

Pensyarah Program Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan UMS Prof Madya Dr Nur Fadilah Darmansah berkata kerjasama yang dibincangkan semasa lawatan ke universiti itu termasuklah program mobiliti pelajar dan penerbitan bersama. 

“Selain itu, kolaborasi penyelidikan serta penganjuran persidangan akademik secara bersama itu turut dibincangkan,” kata Nur Fadilah dalam kenyataan dikongsikan UMS hari ini. 

Beliau yang menerima jemputan universiti berkenaan untuk menyampaikan syarahan akademik berkata selain sesi syarahan, lawatan tersebut turut menjadi platform penting dalam memperkasakan kolaborasi antara kedua-dua institusi menerusi penglibatan beberapa fakulti berkaitan di Universiti Pristina.

“Ia termasuklah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Fakulti Seni bina,” katanya.

Nur Fadilah berkata jemputan itu, bukan sahaja satu pengiktiraran trerhadap kepakaran UMS dalam bidang alam bina, tetapi membuka ruang baharu dalam memperluas jaringan antarabangsa UMS ke peringkat global.

Beliau berharap jaringan kerjasama dengan universiti Pristina itu, dapat memberi impak positif kepada pembangunan akademik dan penyelidikan UMS.

“Ia sekali gus memperkukuh kedudukan UMS sebagai institusi yang aktif dalam pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Usaha ini bukan sahaja membuka peluang kepada pertukaran ilmu dan kepakaran, malah meningkatkan keterlihatan UMS pada peringkat global,” katanya.

Beliau berkata lawatan ke Universiti Pristina itu, mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperluas hubungan strategik antarabangsa serta meningkatkan peluang kolaborasi berimpak tinggi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2546149