AM

Kes Pijak Kepala: PDRM Laksana Siasatan Menyeluruh, Teliti Pematuhan SOP

21/04/2026 12:57 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan untuk melaksanakan siasatan menyeluruh mengenai insiden tular membabitkan anggota pasukan keselamatan itu memijak kepala seorang lelaki semasa membuat tangkapan dalam kejadian di Kulim, Kedah baru-baru ini. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah menghubungi Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah untuk menyegerakan siasatan yang turut tertumpu kepada aspek penelitian pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota berkenaan.

“Saya sudah pun menghubungi Ketua Polis Kedah untuk menyegerakan siasatan iaitu semak sama ada kepatuhan tatacara dari segi penguatkuasaan.

“Kalau pada akhir siasatan itu menunjukkan ada keperluan untuk menggerakkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard bagi menilai sama ada SOP itu ada pelanggaran atau tidak, saya kena tengok semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteriaan kontrak perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution menegaskan KDN atau PDRM tidak boleh mengenakan tindakan serta merta atau menghukum anggota berkenaan susulan insiden tular berkenaan.

“Kita tidak boleh buat tindakan semberono. Itu akan merentap semangat anggota polis ketika membuat penguatkuasaan sebab mereka yang menjadi suspek ini kadang-kadang agresif.

“...yang kita tengok itu adalah tempoh yang sangat singkat insiden itu tetapi sebelum itu? Sebelum itu ada atau tidak subjek yang kita tahan itu bertindak agresif?.

“Ada atau tidak dia menggerakkan motosikal dia menentang arus? Ada tak berlaku insiden dia melanggar kenderaan polis? Jadi biar pasukan polis siasat dulu, jangan kita hukum hanya kerana kita tengok video beberapa saat. Ada beberapa perkara di sebalik sebelum insiden itu dirakam dan disebarkan,” katanya.

Sebelum ini, PDRM mengesahkan video tular yang memaparkan kejadian tangkapan membabitkan seorang lelaki di hadapan kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra di Kulim, berkaitan operasi ronda cegah jenayah. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata rakaman video yang tular di media sosial berdurasi 0:29 saat di laman sosial Facebook (FB) itu memaparkan kejadian membabitkan anggota polis dan seorang suspek.

Dalam rakaman video itu seorang lelaki dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota polis berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547392