KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengekalkan unjuran pertumbuhan perdagangan 2026 antara tiga peratus hingga lima peratus, disokong oleh tinjauan berhati-hati dalam persekitaran ketegangan geopolitik yang berlanjutan di Asia Barat.
Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata prestasi perdagangan baru-baru ini terutamanya data bulan Mac, memberikan petunjuk awal mengenai keadaan dijangka berlaku dalam beberapa bulan akan datang.
“Bagaimanapun, jika ketegangan semakin memuncak dan mencetuskan kemelesetan global, kita mungkin perlu menyemak semula unjuran. Saya mahu menunggu sehingga akhir April dan akan melihat corak apa yang akan mula terbentuk nanti,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi perdagangan suku pertama 2026 Malaysia, di sini hari ini.
Reezal Merican berkata Asia Barat menyumbang kira-kira 2.7 peratus atau RM21.41 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia, menunjukkan bahawa pendedahan secara langsung masih terhad.
Perkembangan di rantau ini memerlukan pemantauan rapi kerana kesan tidak langsung termasuk harga barangan lebih tinggi, peningkatan kos pengangkutan dan premium risiko peperangan yang tinggi, boleh menjejaskan daya saing eksport dan prestasi perdagangan secara keseluruhan, katanya.
Beliau berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan prestasi perdagangan stabil pada suku pertama 2026 dengan eksport meningkat 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion dan lebihan perdagangan sebanyak RM63.22 bilion, menandakan lonjakan 54 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Walaupun terdapat pertumbuhan ini, pemantauan dalaman dan data industri MATRADE menunjukkan bahawa 90.5 peratus pengeluar kini terjejas oleh gangguan global khususnya menerusi peningkatan kos logistik dan kekurangan bahan mentah dan MATRADE menjangkakan bahawa kesan buruk hanya akan dirasai mulai suku kedua dan seterusnya, katanya.
Justeru, Reezal Merican menggesa pengeksport Malaysia untuk mempelbagaikan produk mereka dalam industri prospektif lain seperti makanan dan minuman, menyumbang 1.9 peratus daripada jumlah perdagangan, farmaseutikal dan tenaga Malaysia.
Matlamat MATRADE adalah untuk mengalihkan perbualan nasional daripada sekadar mengakui 'kesan krisis' kepada pendirian 'pemudahcaraan proaktif', katanya.
"Melalui maklumat strategik, inovasi digital dan sokongan kerajaan bersasar, kami akan memastikan pengeksport Malaysia kekal terlindung daripada kejutan global dan terus mempertahankan momentum perdagangan negara di samping meminimumkan kesan gangguan," katanya.
Reezal Merican berkata MATRADE sedang mempertingkatkan pemantauannya dengan memanfaatkan 47 pejabat agensi di luar negara sebagai Hab Maklumat Strategik Barisan Hadapan untuk menyediakan data masa sebenar kepada pengeksport mengenai ketersambungan pelabuhan dan perancangan laluan taktikal.
Menurutnya, pejabat MATRADE di luar negara bertindak secara aktif sebagai pemudah cara dalam menyelaraskan perancangan laluan taktikal dan menangani kerumitan akses pasaran bagi pengeksport, termasuklah langkah mengalihkan kargo ke hab serta pelabuhan serantau yang stabil seperti Sohar dan Salalah, selain meneroka laluan darat atau kereta api alternatif bagi mengelakkan kesesakan laluan maritim.
"Dengan memperkasakan peranan pesuruhjaya perdagangan kita untuk mengenal pasti jurang bekalan yang timbul akibat ketegangan geopolitik dan mendapatkan bahan alternatif, kami memastikan industri Malaysia terus beroperasi walaupun talian bekalan tradisional sedang mengalami tekanan," katanya.
-- BERNAMA