Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 21 April (Bernama) -- Singapura mencatatkan sejumlah 410 kes denggi pada suku pertama 2026, iaitu penurunan 29.2 peratus berbanding suku sebelumnya, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
Dalam data pengawasan denggi suku tahunan yang dikeluarkan pada Selasa, agensi itu melaporkan satu kematian pada suku pertama, dengan bilangan kluster berjumlah 24 untuk tempoh Januari hingga Mac 2026.
Daripada 24 kluster itu, 22 telah ditutup dalam tempoh yang sama dan bilangan kluster yang dikenal pasti menurun kira-kira 56 peratus berbanding suku sebelumnya.
“NEA mengesan lebih 1,900 habitat pembiakan nyamuk Aedes pada suku tersebut, penurunan kira-kira 36 peratus berbanding suku sebelumnya.
Menurut NEA, lebih 4,000 kes denggi dilaporkan pada 2025, kira-kira 70 peratus lebih rendah daripada jumlah kes yang dilaporkan pada 2024.
-- BERNAMA