RENCANA

Perspektif: Pengajaran Berharga Tentang Suhu Bebuli Basah Di Pulau Sibu

22/04/2026 12:35 PM
Daripada Nina Muslim

Tahun lepas, saya menulis tentang dunia yang telah mencapai satu tahap kritikal dalam perubahan iklim; suhu perairan laut tropika meningkat sebanyak 1.5 darjah berbanding zaman praindustri dan menyebabkan kematian besar-besaran terumbu karang. [https://www.bernama.com/en/news.php?id=2479881].

Satu hakikat yang menggerunkan, kerana tanpa terumbu karang yang menjadi habitat bagi ribuan hidupan marin, bermaksud keruntuhan satu ekosistem yang akan mencetuskan kesan berantai, dan akhirnya berisiko menyebabkan manusia berdepan dengan krisis makanan atau perkara lain yang lebih buruk. Jika lautan tidak lagi sesuai untuk kelangsungan hidup karang, secara logiknya manusia juga menuju nasib yang sama, melainkan kita dapat menyejukkan semula bumi.

Kunjungan saya ke Pulau Sibu, Johor pada awal bulan ini benar-benar membuka mata saya. 

Terletak di tengah-tengah Taman Laut Sultan Iskandar, Pulau Sibu merupakan lokasi tumpuan dugong, atau lembu laut, iaitu sejenis hidupan marin “pemalu” yang jarang dapat dilihat. Saya ke sana mengikuti program media anjuran Habitat Foundation dan MareCet, iaitu sebuah pertubuhan yang komited pada penyelidikan dan pemuliharaan mamalia laut di Malaysia.

Malangnya saya tidak berpeluang melihat waima seekor dugong pun, kecuali riak-riak air ketika seekor daripada mamalia laut itu muncul di permukaan. Namun, belum pun sempat kelibatnya dirakam mata saya, haiwan itu pantas ke bawah permukaan air apabila seorang aktivis pemuliharaan yang menyedari akan kemunculannya, menjerit memanggil ahli biologi marin yang sedang menyelam berhampiran. 

Pun begitu, saya beroleh pengajaran berharga daripada kursus kilat di pulau tersebut tentang kesan hidup di dunia yang sedang memanas dengan cepat.

 

PENCARIAN DUGONG BERTEMU SUHU BEBULI BASAH

Jam menunjukkan sekitar 11 pagi namun matahari sudah memancar terik. Kelihatan beberapa gumpalan awan ribut, namun jauh di ufuk. 

Laut pula tenang dengan hampir tiada tiupan angin;  keadaan yang menurut Dr Louisa Ponnampalam, pengasas bersama MareCet dan ahli biologi marin, amat sesuai untuk mengesan dugong. Bukan kerana dugong gemarkan laut yang tenang, tetapi kerana  “lebih mudah melihatnya apabila haiwan itu timbul di permukaan”.

Beberapa orang daripada kami turun menyelam di kedalaman kira-kira tiga ke empat meter di dasar laut yang dihampari rumput laut, iaitu makanan kegemaran dugong. Menurut Louisa, hanya ada sekitar 100 ekor dugong di perairan Malaysia. Spesies ini terancam di Malaysia akibat kemerosotan habitat rumput laut selain mudah terdedah kepada aktiviti perikanan, dan disenaraikan sebagai Rentan Pupus dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN)

Kepulauan Mersing di Johor, yang merangkumi Pulau Besar, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi, merupakan antara lokasi utama dugong. 

Di atas bot, cuaca begitu panas dirasakan, dan di sebalik sinaran matahari yang menyilaukan, kelembapan udara tinggi.Saya mula berasa loya dan pening. Pihak berwajib sebelum itu mengeluarkan amaran gelombang haba di beberapa lokasi, namun Johor tidak tersenarai.  Di Pulau Sibu, suhu maksimum pada hari itu mencecah 32 darjah Celsius, sementara beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia merekodkan suhu melebihi 35 darjah Celsius.

Selepas kira-kira sejam, kami bergerak ke Pulau Sibu Kukus untuk menikmati makan tengah hari secara berkelah. Walaupun saya mengambil minuman isotonik, berlindung di tempat teduh dan mengehadkan aktiviti fizikal, keadaan saya tidak banyak berubah. Saya malah meranduk air untuk menyejukkan badan, namun kesannya cuma sekejap.

Di sebalik dentuman guruh dan pancaran kilat di langit merentasi pulau-pulau berhampiran, kami tidak menjangka ribut “sampai” di tempat kami. Namun, telahan itu silap dan kami kelam-kabut berkemas serta menaiki bot untuk kembali ke Pulau Sibu.

Kami selamat tiba, “mendahului” ribut, kerana realitinya awan hitam itu hanya menunggu masa untuk menurunkan hujan. Udara amat lembap - carian Google menunjukkan tahap kelembapan sekitar 85 peratus. Kepenatan, saya memilih untuk tidur daripada mandi, dengan harapan akan kembali segar apabila bangun. Ternyata saya silap. 

Ketika menyertai tinjauan mesra di kampung beberapa jam kemudian, saya terduduk di tengah-tengah kawasan lapang yang dipenuhi najis haiwan, memuntahkan segala isu perut. 

Pada saat itu saya sedar, apa yang saya alami ialah kelesuan haba dan keadaannya amat serius. Di sebalik peluh yang keluar mencurah-curah dan minuman isotonik yang diteguk, saya mencapai had “suhu bebuli basah” saya.

 

APA ITU SUHU BEBULI BASAH? 

Suhu bebuli basah (WBT) mengambil kira suhu kering, iaitu suhu di kawasan teduhan serta kelembapan udara bagi mengira suhu paling rendah yang mampu dicapai oleh tubuh manusia melalui proses berpeluh dalam keadaan tersebut.

Suhu bebuli basah glob (WBGT) pula ukuran seterusnya yang menggabungkan WBT dengan faktor kelajuan angin dan sinaran matahari. Kaedah pengukuran ini semakin mendapat perhatian kerana dianggap lebih tepat dalam meramal tekanan haba terhadap manusia.

Walaupun Malaysia menggunakan WBGT, amaran kepada orang ramai biasanya dibuat menggunakan Indeks Haba yang menggabungkan suhu udara dan kelembapan relatif bagi menunjukkan suhu “dirasai”.

Tubuh manusia menyejukkan diri melalui peluh, dan haba dibawa keluar dari badan apabila peluh menyejat. Namun, apabila keadaan persekitaran tidak lagi membenarkan peluh menyejat, itulah yang dinamakan had WBT. Secara teori, had berbahaya WBT bagi manusia ialah sekitar 35 darjah Celsius. Namun, kajian oleh Pennsylvania State University pada 2022 terhadap golongan dewasa muda yang sihat, mendapati kelembapan tinggi boleh menurunkan had itu kepada sekitar 30 hingga 31 darjah Celsius.

Pengarah Pusat Daya Tahan dan Prestasi Haba Universiti Nasional Singapura Jason Lee memberitahu, berdasarkan suhu dan kelembapan pada hari itu, WBT saya adalah sekitar 29.9 darjah Celsius.  

“Apabila suhu bebuli basah tinggi, bermakna terdapat banyak wap air di atmosfera. Peluh masih boleh menyejat, tetapi sebahagian besarnya tidak, menyebabkan haba terkumpul dengan cepat dalam badan,” jelasnya.  

Ironinya, tubuh saya sebenarnya telah memberi amaran yang saya berada di ambang strok haba sebelum kami ke Pulau Sibu Kukus. Saya menyedari terdapat titisan air pada lengan ketika sarapan, seolah-olah baru lepas berenang atau mandi, tetapi sebenarnya peluh. Cuma titisan tersebut tidak menyejat.

Walaupun saya sentiasa minum air, Lee berkata pengambilan air semata-mata tidak mencukupi untuk mencegah kelesuan haba atau strok haba.

“Penghidratan itu penting, dan ramai menganggap minum air saja mencukupi untuk menangani bahang, tetapi sebenarnya tidak memadai. Anda perlu terus minum kerana anda akan terus berpeluh, tetapi minum air tidak boleh dijadikan satu-satunya strategi untuk melawan haba,” katanya. 

Saya tertanya-tanya mengapa hanya saya yang terjejas teruk dalam kumpulan kami, sedangkan kami semua terdedah kepada jumlah cahaya matahari yang sama. Malah, ada yang lebih lama terdedah kepada pancaran matahari berbanding saya. Petunjuk penting ialah saya tidak berenang semasa lawatan ataupun mandi selepas pulang.

Sekalipun berendam dalam air akan membantu menurunkan suhu teras tubuh saya - “Apabila berada di dalam air, kesannya 24 kali lebih kuat berbanding di luar,” jelas Lee - ketika itu saya terlalu penat dan cuma mahu berehat.

Lee memahami keadaan tersebut dan menjelaskan itulah cabaran dalam dunia yang kian panas sekarang, iaitu manusia cenderung menyesuaikan tingkah laku mereka untuk mengelakkan bahang dengan berlindung di dalam bilik berhawa dingin yang mampu menjejaskan kesihatan dalam jangka panjang.

 

TIDAK SESUAI DIDIAMI

Asia Tenggara dijangka terus mengalami gelombang haba melampau berdasarkan kajian saintifik. Misalnya kajian oleh Houmsi et al bertajuk “Spatiotemporal changes in Hourly Wet Bulb Globe Temperature in Peninsular Malaysia” yang disiarkan jurnal MDPI Sustainability pada 2023, mendapati suhu WBGT di kawasan pantai barat telah meningkat hingga 30.5°C dalam tempoh beberapa dekad lalu.

Keadaan ini dijangka bertambah buruk dengan kemunculan Super El Nino yang membawa kemarau teruk, suhu pecah rekod dan jerebu. Setakat 31 Mac, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan satu kematian dan 15 kes penyakit berkaitan haba.

Selain usaha mengurangkan perubahan iklim melalui penanaman pokok dan pengurangan pelepasan karbon, pakar kesihatan haba Lee yang juga Pengerusi WHO-World Meteorological Global Heat Health Information Network Southeast Asia Hub, berkata orang ramai masih boleh mengurangkan tekanan haba melalui langkah praktikal seperti mengurangkan pendedahan kepada sinaran matahari, mencari teduhan, dan menggunakan kipas mudah alih.

Beliau juga menekankan bahawa senaman berkala membantu tubuh menyesuaikan diri dengan haba, sambil mengekalkan aktiviti luar untuk kesihatan fizikal dan mental - asalkan dilakukan dengan berhati-hati.

Namun, cabaran utama di Asia Tenggara bukan lagi sekadar strok haba kerana kemudahan penyejukan sudah mencukupi. Sebaliknya, menurut beliau, isu lebih besar ialah ramai orang kini mengelak haba sepenuhnya, menyebabkan masyarakat mungkin tidak mencapai potensi kesihatan dan daya tahan sebenar mereka.

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2547948