KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dan merampas rokok serta beras dipercayai diseludup dalam serbuan Ops Kontraban di Pasir Puteh hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Saari Yaacob berkata serbuan pada 6.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Bukit Bidang, Selising itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh.
"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan pelbagai jenama rokok disyaki tidak bercukai berjumlah 141,200 batang dan beras pelbagai jenama dengan berat keseluruhan 7,775 kilogram dipercayai diseludup dari Thailand.
“Keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM191,672," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil soal siasat, seorang daripada lelaki itu mengaku terlibat dalam kegiatan penjualan rokok tidak bercukai dan beras yang disyaki diseludup itu manakala seorang lagi menafikan penglibatan.
Saari berkata kedua-duanya yang berusia lingkungan 30-an akan direman untuk membantu siasatan lanjut.
-- BERNAMA