Daripada Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol
BRUSSELS, 22 April (Bernama) -- Sebuah organisasi hak asasi manusia Malaysia menyertai satu gabungan perundangan antarabangsa, bagi menuntut pertanggungjawaban berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang melibatkan pegawai Israel.
Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Waves of Freedom France, Centre for Human Rights Research & Advocacy dan Global Coalition to End the Occupation of Palestine berhubung perkara itu, semasa Kongres Parlimen Global Sumud yang berlangsung di sini hari ini.
MoU itu mewujudkan satu rangka kerja bagi kerjasama perundangan antarabangsa, yang bertujuan untuk mendakwa jenayah serius di bawah undang-undang antarabangsa.
Inisiatif itu, bertepatan dengan pemfailan satu aduan undang-undang di Perancis, yang menyasarkan beberapa pegawai Israel berhubung peranan mereka yang didakwa dalam penggubalan undang-undang yang memperkenalkan hukuman mati terhadap tahanan Palestin.
Pengasas dan Pengerusi CENTHRA Azril Mohd Amin berkata penyertaan organisasi itu dalam kongres berkenaan, memberi tumpuan kepada pengukuhan rangka kerja perundangan serta kerjasama antarabangsa.
“Kedua-dua gabungan sangat komited dalam aspek perundangan dan mereka telah pun sebenarnya dalam minggu terbaru ini, memfailkan beberapa tindakan jenayah terhadap individu dan pegawai Israel,” katanya.
Beliau berkata usaha di Brussels itu, turut membuka peluang untuk memperkukuh rangkaian antarabangsa dalam kalangan peguam dan aktivis.
“Harapnya dengan ada jaringan yang lebih kukuh ini, usaha kita untuk membawa keadilan bagi pihak rakyat Palestin untuk mendakwa pihak Israel, akan menjadi lebih berjaya dan lebih kukuh,” katanya.
Azril berkata CENTHRA akan mula mengambil bentuk tindakan lain untuk mendakwa jenayah yang dilakukan Israel, walaupun berhadapan kekangan dalam melaksanakan secara langsung prinsip bidang kuasa universal.
“Insya-Allah, walaupun kita tidak boleh lagi membuat prinsip atau melaksanakan prinsip bidang kuasa universal secara terus di Malaysia kerana halangan tertentu, Malaysia akan memulakan dengan tindakan untuk menuntut keadilan terhadap peserta-peserta Malaysia dalam Global Sumud Flotila yang ditahan dan diculik di perairan antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA