GAYA HIDUP

Kemas Almari Baju Jadi Lubuk Rezeki

23/04/2026 09:47 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Kerja melipat pakaian yang baru dibasuh antara yang sering ditangguhkan oleh golongan ibu bekerja khususnya, kerana kesibukan dengan tugas-tugas lain yang dianggap lebih penting.

Situasi itu akhirnya membawa kepada timbunan pakaian di dalam bakul ataupun almari, yang bukan sahaja “menyesakkan” pandangan mata tetapi turut melambatkan urusan di waktu pagi kerana terpaksa “menyelongkar” timbunan pakaian untuk bersiap ke pejabat ataupun anak-anak hendak ke sekolah.   

Menyedari perkara itu berlaku di kebanyakan rumah, Wan Malini Idris, 33,  merebut peluang menjana pendapatan menerusi perkhidmatan mengemas almari pakaian yang diusahakannya sejak Mei tahun lepas.

pic-2

Menerusi almari.mili, perniagaan lepasan Diploma Pengajian Perniagaan daripada Universiti Teknologi MARA itu kian mendapat sambutan dengan permintaan diterima saban hari.  

“Idea ini tercetus secara tidak sengaja selepas saya melihat bagaimana sebuah kediaman yang berselerak boleh diubah menjadi ruang yang kemas dan tersusun melalui satu video yang dikongsikan oleh pempengaruh luar negara,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mencuba nasib, wanita ini mengiklankan perkhidmatannya di media sosial, dan tanpa diduga menerima maklum balas positif yang seterusnya membuka pintu rezeki beliau.

Mendapat sokongan penuh ibunya, Nora’shikin Abd Rahman,  usahawan muda itu berkata minat serta kebolehannya dalam mengemas banyak dipengaruhi oleh ibunya yang gemar menyusun atur rumah termasuk mengemas pakaian.

pic-3

“Kebanyakan pelanggan terdiri daripada golongan korporat yang sibuk dan berdepan kekangan masa untuk mengurus pakaian setiap hari,” katanya, menambah walaupuan menerima permintaan tinggi, beliau terpaksa mengehadkan perkhidmatan kepada seorang pelanggan sehari. 

Menurut Wan Malini, sebelum menerima tempahan, beliau akan meminta pelanggan menghantar video almari bagi membolehkannya menilai keadaan serta tempoh masa yang diperlukan.

Kelihatan mudah, namun kata beliau tugas mengemas dan menyusun almari pakaian mempunyai cabaran tersendiri terutama dari tenaga fizikal selain sikap pelanggan itu sendiri yang sukar melepaskan pakaian tidak lagi dipakai.

pic-4

Pengalaman mengemas almari pelanggan juga memberinya perspektif baharu terhadap emosi individu, khususnya mereka yang berasa tertekan atau terlalu terbeban melihat keadaan rumah berselerak. 

“Ada klien yang rasa terlalu ‘overwhelmed’. Ada yang menangis sebab mereka cuba kemas sendiri, tetapi akhirnya ‘gave up’ kerana terlalu banyak barang. Bila kita bantu kemaskan ruang mereka, sedikit sebanyak memberi kelegaan,” katanya.

Berkongsi tip penyusunan pakaian, Wan Malini menekankan kepentingan sistem yang praktikal berbanding susunan yang terlalu sempurna atau bersifat hiasan semata-mata.

“Kalau boleh, baju yang selalu dipakai letak di bahagian depan atau tempat yang mudah capai. Kalau ada ruang gantung, itu lebih baik, terutama untuk orang bekerja kerana mereka memang tiada masa nak urus baju.

pic-5

“Untuk pakaian yang jarang dipakai, boleh simpan di bahagian belakang. Baju sejuk pula saya cadangkan simpan dalam beg vakum untuk jimat ruang,” katanya yang menyifatkan kerjayanya itu sebagai satu bentuk terapi.

Menawarkan perkhidmatan di sekitar Lembah Klang dan kawasan berhampiran, Wan Malini berpandangan bidang itu mempunyai potensi tinggi kerana keperluannya sentiasa wujud.

“Siapa tak pakai baju? Semua orang pakai baju. Dan tak semua orang ada masa atau niat untuk menguruskannya dengan teratur. Bila orang nak rumah dan almari tersusun, mereka perlukan juga seseorang untuk membantu,” katanya.

Beliau yang merancang untuk mengambil pembantu dalam masa terdekat bagi mengurus pertanyaan pelanggan, turut menyasarkan peluasan pasaran ke negara serantau, bermula dengan Singapura.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548299