AM

Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Berfungsi Seperti Biasa, Pastikan Tadbir Urus Teratur - Tuanku Muhriz

23/04/2026 01:02 PM

SEREMBAN, 23 April (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa bagi memastikan kelangsungan tadbir urus negeri berjalan dengan teratur serta memelihara kepentingan rakyat.

Tuanku Muhriz bertitah walaupun dengan ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiringi baginda pada setiap perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), keadaan itu tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan berkenaan.

“Beta berdoa kepada Allah SWT supaya negeri dan rakyat beta terus diberikan kesejahteraan dan hidup dalam suasana harmoni melalui kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bersama barisan exco kerajaan negeri.

“Beta berasa amat bersyukur kerana kerjasama kukuh dalam kerajaan beta terus menunjukkan prestasi yang amat cemerlang pada tahun lepas,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat DUN Ke-15 di sini hari ini.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, bagaimanapun tidak hadir ke persidangan tersebut.

Tuanku Muhriz bertitah Negeri Sembilan mencatat sejarah tersendiri sebagai negeri pertama berjaya mencapai status sifar miskin tegar secara konsisten bagi 2023, 2024, 2025 sehingga ke tahun ini.

Melalui pelbagai intervensi bersasar dan pemantauan yang rapi, pencapaian itu mula direkodkan sejak penghujung 2023 apabila 3,530 Ketua Isi Rumah (KIR) berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar.

Baginda bertitah kejayaan itu bukan bersifat sementara sebaliknya berterusan apabila pada 2024, seramai 1,697 KIR turut dikeluarkan daripada kategori tersebut, meningkat kepada 2,275 KIR tahun lepas dan sehingga 30 Jan tahun ini dengan 1,106 KIR, sekali gus memastikan Negeri Sembilan mengekalkan status sifar miskin tegar bagi empat tahun berturut-turut.

Tuanku Muhriz turut menegaskan usaha membasmi kemiskinan tegar tidak boleh dilihat sebagai satu pencapaian angka semata-mata sebaliknya merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap maruah dan kesejahteraan rakyat.

“Setiap KIR yang berjaya dibantu melambangkan pemulihan masa depan sebuah keluarga. Sehubungan itu, beta mahu usaha ini diteruskan dengan lebih agresif, berfokus dan berintegriti tanpa ada yang tercicir atau terlepas daripada radar tindakan.

“Ia bagi memastikan Negeri Sembilan terus kekal sebagai contoh negeri yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal malah unggul dalam menjamin kesejahteraan sosial rakyatnya,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan kebanggaan dengan pencapaian sektor pendidikan di negeri ini secara keseluruhannya kerana sentiasa menerima penghargaan dan pengiktirafan melibatkan tahap pengajian di peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi.

“Beta berbesar hati dengan pencapaian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun lepas yang mencatatkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) kepada 2.33 mata. Kecemerlangan ini dizahirkan apabila Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Mustafa, Jempol serta Maahad Ahmadi mengekalkan GPN cemerlang 1.81 mata,” titah baginda.

Selain itu, baginda turut menzahirkan tahniah atas pencapaian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Ampuan Najihah atau Noghori Arts School yang mengharumkan nama negeri dengan penyertaan sepanjang Minggu Negeri Sembilan di Pavilion Malaysia, Ekspo 2025 Osaka, Jepun pada Oktober lepas.

Menyentuh mengenai pelancongan, Tuanku Muhriz bertitah tahun ini mencatatkan detik amat bermakna apabila diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS), sekaligus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sektor itu sebagai teras ekonomi mampan dan lestari berfokuskan pelancongan pantai, ekopelancongan dan Adat Perpatih.

“Setelah 27 tahun tidak dilaksanakan TMNS dan mengambil kira peningkatan kehadiran pelancong yang amat memberangsangkan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, beta menyeru agar inisiatif ini tidak terhenti setakat ini sahaja sebaliknya diteruskan secara konsisten dan berkesinambungan pada tahun seterusnya,” titah baginda.

Sementara itu, sebagai Ketua Agama Negeri, Tuanku Muhriz mahu supaya perhatian serius diberikan terhadap usaha meningkatkan ekonomi dan ilmu pengetahuan umat Islam termasuk menjadikan masjid dan surau tempat menyebarkan lagi syiar Islam.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548332