KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mariamah Tijo, 76, yang meninggal dunia hari ini.
Fahmi menyifatkan Allahyarham seorang legenda bersuara emas yang ramai membesar dengan mendengarkan suaranya.
“Dulu suara itulah yang setia menemani kita. Kini tinggal kenangan yang sukar dicari ganti.
“Pada 2024, saya telah menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Allahyarham menerusi anaknya sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap warga media,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Fahmi berkata Allahyarham berkhidmat dengan RTM sebagai juruhebah dan penyampai radio sejak 1970-an hingga 2006, iaitu satu perjalanan panjang yang penuh dedikasi dan jasa.
Beliau juga berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
-- BERNAMA