AM

37 Perpustakaan Desa Dinaik Taraf Tahun Ini, Fokus Aspek Pendigitalan - Yuneswaran

23/04/2026 03:40 PM

IPOH, 23 April (Bernama) -- Sebanyak 37 perpustakaan desa di seluruh negara telah dinaik taraf tahun ini dengan penekanan terhadap pembangunan sistem pendigitalan sebagai usaha memperkasakan akses ilmu kepada masyarakat luar bandar, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran.

Beliau berkata inisiatif dilaksanakan melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu adalah sebahagian daripada pelan berperingkat melibatkan lebih 500 perpustakaan desa di seluruh negara.

Yuneswaran berkata kerja-kerja menaik taraf berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan di bawah Kementerian Perpaduan Negara melalui program pemeliharaan dan penyelenggaraan dengan kira-kira 60 perpustakaan desa telah dinaik taraf pada tahun lepas.

“Saya berpandangan bahawa kini adalah masa untuk kita bukan sahaja menumpukan kepada penambahbaikan fizikal, tetapi juga mempergiat usaha pendigitalan memandangkan perpustakaan digital semakin penting. 

“Kita akan bincang supaya pendigitalan ini bukan sahaja untuk orang bandar tetapi orang luar bandar juga harus nikmati pembangunan digital ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Zon Utara, Jom Membaca Bersama 10 Minit 2026 dan Dekad Membaca Kebangsaan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah serta Ketua Pengarah PNM Edy Irwan Zulkafli. 

Mengenai program hari ini, Yuneswaran berkata ia bertujuan menggalakkan generasi muda dan seluruh rakyat Malaysia membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian.

“Inisiatif ini di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan kerjasama antara PNM, Dewan Bahasa dan Pustaka serta beberapa agensi lain.

“Program ini bertujuan menyeru rakyat Malaysia (membaca) tidak kira buku bahasa apa pun, kita kena mengamalkan setiap hari paling kurang pun membaca selama 10 minit,” katanya sambil menambah program sedemikian mampu meningkatkan kadar pembacaan rakyat Malaysia berbanding tahun-tahun sebelum ini iaitu pada 2022-2023 dengan sebanyak 24 buku setahun. 

Selain itu, kementerian berkenaan melalui PNM telah menganjurkan Anugerah Buku PNM 2025/2026 bagi mengiktiraf karya terbitan tempatan yang berkualiti, berimpak tinggi serta memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ilmu, pemikiran dan peradaban masyarakat.

Antara penerima anugerah ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi kategori Pilihan Pembaca - Buku Bercetak Bahasa Melayu menerusi buku karyanya bertajuk “Jalan Tegak” yang diterbitkan pada 2024.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2548432