TANAH MERAH, 23 April (Bernama) -- Selaras senapang M16 yang ditemukan dalam satu serbuan di Kampung Miak, Gua Musang pada Isnin lepas, kini sedang melalui proses ujian forensik bagi mengenal pasti sama ada senjata api itu milik pasukan keselamatan negara atau diseludup masuk dari negara jiran.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan terperinci sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia termasuk usaha mengesan nombor siri senjata api itu yang dikategorikan sebagai penemuan yang luar biasa.
“Di Malaysia, senjata api M16 tidak dilesenkan kepada orang awam dan hanya dikhaskan untuk kegunaan pasukan polis serta tentera. Bagi tujuan seperti memburu, pihak berkuasa hanya melesenkan penggunaan senapang patah (shotgun).
“Oleh itu, penemuan senjata api M16 ini adalah sesuatu yang sangat luar biasa dan jarang-jarang berlaku. Sekiranya semakan mendapati ia bukan milik agensi keselamatan tempatan, ia berkemungkinan besar diseludup dari luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.
Beliau ketika mengulas mengenai cara senjata api itu dibawa masuk berkata semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedua-dua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) tidak menunjukkan sebarang pergerakan mencurigakan yang berkaitan dengan kes itu.
Beliau berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung penemuan senjata api berkenaan.
“Kami masih belum menahan mana-mana suspek. Apabila suspek berjaya diberkas kelak, barulah kami akan mengetahui lebih lanjut dari mana dan bagaimana senjata api itu diperoleh,” katanya.
Pada Isnin lepas, polis menahan seorang wanita dan merampas lima laras senjata api pelbagai jenis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Miak, Gua Musang.
-- BERNAMA