AM

YADIM Rangka Modul Latihan Berstruktur Perkukuh Tadbir Urus NGO Islam

26/04/2026 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sedang menyiapkan modul latihan berstruktur berkaitan pengurusan kewangan dan tatakelola bagi memperkukuh standard tadbir urus badan bukan kerajaan (NGO) Islam, susulan kebimbangan terhadap dakwaan salah urus serta penyelewengan dana zakat.

Yang Dipertua YADIM Datuk Dr Hasan Bahrom berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan integriti, menyelaras amalan terbaik dalam pengurusan dana serta memperkukuh ketelusan pelaksanaan program dalam kalangan NGO Islam.

Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan resolusi program libat urus pembangunan kapasiti NGO Islam sebelum ini yang menekankan latihan berkala berkaitan pengurusan dana awam serta pengukuhan budaya integriti melalui pensijilan badan berautoriti.

“YADIM memandang serius isu dakwaan salah urus serta penyelewengan dana zakat yang kini menjadi perhatian meluas masyarakat.

“Isu ini bukan sahaja menyentuh aspek perundangan, malah memberi implikasi besar terhadap tahap kepercayaan awam kepada institusi kebajikan dan gerakan dakwah di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasan berkata bagi meningkatkan akauntabiliti, YADIM menyeru semua NGO yang bernaung di bawah Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) melaksanakan audit tahunan oleh juruaudit bertauliah sebagai langkah memperkukuh ketelusan dan keyakinan awam.

Beliau berkata langkah itu turut selari dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan agar setiap NGO mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang kukuh bagi menjamin ketelusan pengurusan dan kewangan.

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549673