AM

Mesyuarat HLC Tumpu Usaha Percepat Transformasi Desa - TPM Ahmad Zahid

27/04/2026 04:20 PM

PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Usaha mempercepat transformasi desa selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) diberi tumpuan semasa perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Desa kali ketiga, pada hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara perkara yang dipersetujui menerusi mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu ialah mempertingkat infrastruktur sekolah luar bandar melalui kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), khususnya bagi membantu sekolah di kawasan pedalaman.

"Pendidikan awal kanak-kanak di kawasan FELDA juga akan diselaraskan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) secara berfasa bermula Jun 2026, bagi memastikan sistem penyampaian lebih tersusun dan berkualiti," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata mesyuarat itu turut bersetuju memperkukuh ekosistem digital luar bandar melalui kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Pusat Komuniti Desa (PKD) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada.

Beliau berkata pendekatan "Whole of Government", "Whole of Society" dan "Data Driven Governance" akan diperkasakan bagi meningkatkan penyelarasan dasar serta keberkesanan pelaksanaan.

Ini, katanya, akan memperkukuh komitmen KKDW dalam merapatkan jurang pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan mampan.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2549941