SUKAN

40 Negara Dijangka Sertai Kejohanan Sukan Bina Badan & Susuk Badan Asia 2026

27/04/2026 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Sebanyak 40 negara dijangka menyertai Kejohanan Sukan Bina Badan dan Susuk Badan Asia 2026 yang akan berlangsung di Palace of Golden Horses, Seri Kembangan di sini dari 4 hingga 10 Ogos ini.

Kejohanan edisi ke-58 itu dijangka menghimpunkan kira-kira 400 atlet dari seluruh Asia termasuk Hong Kong, Myanmar, India, Thailand dan Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Raja Lokman Raja Ahmad berkata penganjuran kejohanan berprestij itu bukan sahaja menjadi medan persaingan, malah platform strategik untuk mengangkat imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sambutan awal amat menggalakkan dan mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan bertaraf dunia.

“Ini juga kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan peringkat Asia, selepas Melaka menganjurkan kejohanan dunia pada 2011,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 100 hari menjelang kejohanan itu yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, hari ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2550046