KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Malaysia tidak berhasrat untuk kekal hanya sebagai pengguna kecerdasan buatan (AI), sebaliknya berusaha membentuk kerjasama dengan rakan strategik bagi membangunkan keupayaaan dan bersaing dalam ekonomi digital global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata berpandukan prinsip MADANI, tumpuan kerajaan adalah kepada rakyat, dengan usaha memacu kemajuan ekonomi dan kemakmuran berteraskan kesaksamaan serta keadilan sosial.
“Seiring dengan nilai teras MADANI, penekanan kita adalah kepada rakyat, dengan matlamat untuk memupuk kemajuan ekonomi dan kemakmuran yang berlandaskan kesaksamaan serta keadilan sosial.
“Usaha transformasi digital yang hanya dipacu oleh kemajuan material semata-mata akan menjadi tidak produktif sekiranya membawa kepada ketaksaksamaan sosial yang lebih besar,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama di majlis pelancaran Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Presiden Huawei Asia Pasifik Terry He.
Perdana Menteri berkata Malaysia akan kekal terbuka kepada pelaburan dari Timur dan Barat serta membentuk kerjasama dengan syarikat yang menghormati undang-undang serta keutamaan negara.
Beliau berkata bagaimanapun, negara akan mengekalkan kawalan terhadap keputusan dasar utama.
“Kita tidak akan melepaskan keputusan yang paling penting iaitu cara data kita ditadbir, cara sistem AI digunakan dalam institusi awam kita, dan cara teknologi baharu diperkenalkan dalam kehidupan rakyat,” kata beliau.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Huawei atas pembukaan Makmal AI dan Pusat Inovasi yang pertama di luar China.
“Saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Huawei kerana yakin terhadap Malaysia dan menyokong pelbagai usaha kami. Latihan, pendedahan serta kemudahan bersama -- saya berpandangan ini melambangkan kerjasama sebenar antara kita.
“Selamat hari ulang tahun ke-25 dan saya berharap serta yakin kita akan berjaya mencapainya,” kata beliau.
Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei yang baharu dilancarkan itu akan memberi perkhidmatan kepada rantau Asia Pasifik yang lebih luas.
Kemudahan, dengan keluasan keseluruhan 13,638 kaki persegi itu menyediakan ruang yang mencukupi untuk menujukkan penyelesaian terkini Huawei serta fungsi bagi transformasi digital dan tenaga.
Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei juga akan menggalakkan kerjasama inovasi serta pembangunan ekosistem yang lebih kukuh di samping mengeratkan lagi kerjasama antara pihak berkepentingan industri dan pendidikan dalam melatih lebih ramai bakat AI Malaysia.
-- BERNAMA