EKONOMI

KIP REIT Beli Setapak Central Bernilai RM435 Juta

27/04/2026 07:28 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) menerusi pemegang amanahnya Pacific Trustees Bhd telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat bagi cadangan pembelian Setapak Central pada harga RM435 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu menyatakan bahawa pembelian berkenaan melibatkan sebuah pusat beli-belah tiga tingkat berstatus pajakan dengan tempat letak kereta bawah tanah yang terletak secara strategik di Setapak, Kuala Lumpur.

“Pembelian tersebut akan dibiayai melalui gabungan pinjaman bank dan tawaran saham persendirian yang secara amnya mencerminkan nisbah pembiayaan 60:40,” menurut kumpulan berkenaan.

KIP REIT memaklumkan bahawa hartanah itu mempunyai kadar penghunian yang tinggi iaitu 99.9 peratus setakat 28 Feb, 2026 dengan keluasan boleh sewa bersih (NLA) sebanyak 47,824.35 meter persegi.

Ini dijangka mengembangkan NLA portfolio semasa kumpulan sebanyak 306,580.032 meter persegi dengan anggaran peningkatan kira-kira 15.6 peratus.

“Ia mencatatkan pendapatan hartanah bersih sebanyak RM31.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 2025 yang diterjemahkan kepada hasil yang menarik sebanyak 7.2 peratus sekali gus memperkukuh keupayaannya untuk memberi pendapatan yang stabil dan mampan kepada KIP REIT.

“Apabila urusan pembelian selesai, Setapak Central akan menjadi aset ke-19 kumpulan itu dan merupakan yang terbesar dari segi nilai,” jelas kenyataan KIP REIT.

Kumpulan itu menyatakan bahawa cadangan pembelian itu dijangka meningkatkan kualiti dan skala portfolio KIP REIT sekali gus meningkatkan aset di bawah pengurusan daripada RM1.7 bilion kepada RM2.1 bilion.

Ini membolehkan syarikat melepasi sasaran RM2 bilion yang ditetapkan untuk 2027 lebih awal daripada jadual.

“Jumlah unit terbitan yang diperbesar itu akan memperkukuh permodalan pasaran kumpulan kepada kira-kira RM1 bilion yang berpotensi meningkatkan profil korporatnya selain menambah baik akses ke pasaran modal sekali gus dapat menyokong kos pembiayaan yang lebih kompetitif dalam jangka masa panjang.

“Pembelian ini juga dijangka meningkatkan pengagihan seunit (DPU) dalam jangka masa panjang seiring dengan strategi KIP REIT untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang unit,” menurut KIP REIT.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Valerie Ong berkata cadangan pembelian Setapak Central menandakan satu lagi langkah penting dalam perjalanan pertumbuhan KIP REIT.

“Kami kekal beri tumpuan kepada pertumbuhan yang berkualiti dengan memacu semakan semula kadar sewa, memperkemas strategi penyewaan dan melaksanakan inisiatif penambahbaikan aset bagi memberikan pertumbuhan DPU yang mampan sambil memastikan aset kami kekal relevan dengan keperluan pengguna yang sentiasa berubah,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2550083