Oleh Nurhafizah Tan
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Origami, iaitu seni lipatan kertas masyarakat Jepun, diberi sentuhan tempatan oleh anak muda ini yang memanfaatkan kreativitinya untuk mengangkat kisah serta sejarah Melayu.
Muhammad Ilham Shah 23, menggunakan teknik origami bagi menghasilkan figura lima pahlawan legenda Melayu, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu sebagai medium naratif tempatan.
“Saya nak tunjuk origami bukan sekadar seni dari Jepun, tapi boleh jadi platform untuk bawa cerita kita sendiri termasuk legenda seperti Hang Tuah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pameran bersempena dengan Malaysia Origami Day 2026, di sini baru baru ini.
pic-2
Dia yang meminati seni lipatan origami sejak berusia enam tahun, turut berharap pendekatan yang dibawanya dapat membuka ruang kepada generasi muda mengenali sejarah dalam bentuk yang lebih segar dan dekat dengan jiwa mereka.
Selain nilai seni yang ditampilkan, karya origami itu turut mencerminkan tahap disiplin yang tinggi dalam penghasilannya kerana setiap figura hanya menggunakan sekeping kertas yang dilipat-lipat tanpa dipotong atau dicantum.
Menurut anak kelahiran Terengganu ini, dia mengambil masa hingga lapan jam untuk melipat satu rekaan selepas menghabiskan selama enam bulan mereka bentuk lipatan bagi menghasilkan figura yang diingini.
pic-3
Bagi memastikan hasil lebih halus dan terperinci, Muhammad Ilham menggunakan kertas tisu yang nipis dan sesuai untuk lipatan yang rumit.
Dia yang merupakan usahawan kraf kayu tradisional, memilih origami sebagai medium ekspresi kreatifnya, khususnya dalam usaha mengangkat elemen budaya tempatan ke arah lebih moden dan dekat dengan generasi muda.
“Kertas itu nampak ‘simple’, tapi kita boleh jadikan sesuatu yang ada nilai dan cerita,” katanya yang berharap usaha kecilnya dapat membuka perspektif baharu tentang seni tradisional luar dalam konteks acuan tempatan, sekali gus membantu memartabatkan warisan dan sejarah negara dalam cara yang lebih kreatif dan relevan.
-- BERNAMA