SUKAN

Gimnas Dan Pelumba Basikal Negara Dinobatkan Olahragawan, Olahragawati Terengganu

28/04/2026 11:30 AM

KUALA TERENGGANU, 28 April (Bernama) -- Gimnas lelaki negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam dan pelumba basikal negara Nur Aisyah Mohamad Zubir dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu pada Majlis Anugerah Sukan Terengganu 2024/2025, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Muhammad Sharul Aimy dan Nur Aisyah membawa pulang wang tunai RM7,000, piala pusingan, piala iringan, blazer dan sijil kepujian.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pemilihan Muhammad Sharul Aimy  berdasarkan pencapaian cemerlang antaranya memenangi pingat emas dan gangsa pada Sukan SEA 2025 Thailand, pingat gangsa Asian Championship 2024 dan menyertai World Championship 2025.

Nur Aisyah pula dipilih selepas memenangi satu pingat emas dan dua perak pada Sukan SEA 2025 Thailand, pingat gangsa Track Asian 2025 dan dua perak di Asia Cycling Championship Road 2025.

Muhammad Sharul Aimy berkata anugerah itu amat bermakna dan menjadi pembakar semangat beliau meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang.

Nur Aisyah juga senada apabila menyifatkan anugerah itu sebagai suntikan motivasi untuk terus mengharumkan nama negeri dan negara pada masa depan.

Sementara itu, atlet olahraga Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif diumumkan sebagai Olahragawan Harapan manakala atlet angkat berat Siti Aqilah Farhana Draman dinamakan Olahragawati Harapan membolehkan mereka menerima wang tunai RM2,500, piala iringan dan sijil kepujian.

Pelumba basikal para negara Zuhairie Ahmad Tarmizi dan atlet ping pong Nurul Nasuha Mohd Anuar masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, piala iringan dan sijil kepujian selepas dinamakan sebagai Olahragawan Para dan Olahragawati Para.

Anugerah disampaikan Ahmad Samsuri dan hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Hishamuddin Abdul Karim serta Pengarah Majlis Sukan Terengganu Mohd Shahrizal Yahaya.

Pada perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata keputusan meneruskan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Selangor penting bagi memastikan barisan atlet diuji pada peringkat kebangsaan sebelum dihantar bertanding ke pentas antarabangsa.

Beliau percaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membuat penentuan jenis sukan utama dan penting yang akan dipertandingkan di SUKMA bagi memastikan kesinambungan ke peringkat lebih tinggi seperti Sukan SEA pada masa akan datang.

“Ini amat penting bagi memastikan Malaysia mampu untuk menghantar atlet berkelayakan yang telah diuji di peringkat kebangsaan,” katanya. 

Ahmad Samsuri berkata persiapan kontinjen Terengganu dan peruntukan bagi tujuan itu berjalan seperti biasa dan tidak terjejas walaupun penganjuran SUKMA 2026 diadakan pada skala lebih kecil, bagi memastikan atlet negeri mampu menyahut cabaran membawa pulang pingat sebanyak yang boleh.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan supaya penganjuran temasya sukan dari 15 hingga 24 Ogos di negeri itu diteruskan dengan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemat. 

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2550260