AM

KPDN Kaji Naik Taraf Bahagian Penguat Kuasa Jadi Jabatan, Perkukuh Penguatkuasaan

28/04/2026 03:35 PM

CYBERJAYA, 28 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji cadangan menaik taraf Bahagian Penguat Kuasa kementerian itu kepada sebuah jabatan bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan serta mengoptimumkan fungsi penguat kuasa merentas kementerian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata cadangan pemerkasaan itu telah dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri yang antara lain mengiktiraf keperluan meningkatkan kapasiti dan keupayaan penguat kuasa KPDN selaras dengan cabaran semasa.

Beliau berkata kerajaan melihat tidak perlu mewujudkan unit penguat kuasa di semua kementerian, sebaliknya fungsi penguatkuasaan tertentu boleh diselaraskan dan dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN yang mempunyai kepakaran dalam bidang perdagangan domestik.

"Kerajaan melihat tidak perlu diwujudkan unit penguat kuasa di semua kementerian. Mengambil kira tanggungjawab KPDN yang terkait dengan perdagangan domestik, maka lebih baik kefungsian penguat kuasa yang kecil di kementerian lain itu dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN," katanya.

Armizan berkata pendekatan itu antara lain dapat meningkatkan kecekapan operasi serta mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dalam sektor awam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke-54 dan pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Armizan berkata cadangan menaik taraf Bahagian Penguat Kuasa KPDN kepada sebuah jabatan kini sedang dikaji bersama agensi pusat termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan mengambil kira dasar semasa kerajaan berkaitan pengoptimuman sumber manusia.

Beliau berkata pemerkasaan bahagian penguat kuasa perlu dilaksanakan segera memandangkan peningkatan kes berkaitan perdagangan digital yang semakin ketara.

"Peningkatan kes dalam e-dagang menjadi antara komponen penting yang akan menjadi teras kepada pasukan penguat kuasa KPDN," katanya.

Sehubungan itu, Armizan berkata kementerian merancang membawa rang undang-undang baharu atau meminda Akta Perdagangan Elektronik sedia ada bagi memperkukuh kerangka perundangan berkaitan urus niaga digital.

Beliau berkata pindaan berkenaan dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang dan pelaksanaannya memerlukan struktur penguatkuasaan yang lebih kukuh bagi memastikan undang-undang dapat dikuatkuasakan secara berkesan.

Beliau berkata perubahan landskap perdagangan, termasuk peningkatan kes berkaitan transaksi dalam talian, manipulasi harga dan penyelewengan subsidi menuntut penstrukturan semula serta peningkatan keupayaan penguatkuasaan kementerian.

“ Sejak penubuhan pasukan penguat kuasa pada 1972 yang bermula dengan hanya 12 anggota dan dua akta di bawah seliaan, tanggungjawab pasukan ini kian berkembang merangkumi pelbagai isu baharu dalam rantaian perdagangan moden.

“Jika dahulu fokusnya tertumpu kepada isu penyorokan barang kawalan, hari ini skopnya jauh lebih luas merangkumi pencatutan transaksi dalam talian, manipulasi harga, ketirisan subsidi serta pelbagai pelanggaran undang-undang perdagangan," katanya.

Armizan berkata kementerian turut memberi penekanan kepada pendekatan baharu yang bukan sahaja menumpukan kepada penguatkuasaan malah memposisikan pegawai sebagai "enforcer educator" iaitu penguat kuasa yang turut berperanan sebagai pendidik kepada masyarakat.

Beliau berkata pemerkasaan pasukan penguat kuasa melibatkan peningkatan kompetensi, penggunaan teknologi, keupayaan risikan, penyiasatan dan pendakwaan serta pengukuhan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah intervensi termasuk meneruskan subsidi petrol RON95 bagi membantu rakyat mengekalkan kuasa beli susulan konflik Asia Barat yang memberi kesan kepada harga barangan dan bekalan global.

Armizan berkata perbelanjaan subsidi bahan api meningkat secara ketara daripada kira-kira RM700 juta sebulan pada Januari 2026 kepada lebih RM6 bilion sebulan ketika krisis, bersamaan kira-kira RM200 juta sehari.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2550360