KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Sistem pendidikan negara mesti berteraskan keseimbangan antara penguasaan ilmu, kemajuan teknologi dan pengukuhan nilai kemanusiaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi memiliki akhlak, etika serta jati diri yang kukuh.
“Oleh itu saya telah minta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memantau dan mempertahankan mutu di universiti.
“Kalau universiti tidak menjurus ke arah kecemerlangan, universiti itu akan menjadi hambar dan hanya menjadi kilang mengeluarkan sijil dan tidak bermutu sekali gus memberi kesan kepada generasi akan datang,” katanya pada program Temu Anwar dan peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim dan Canselor Universiti UCSI Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Anwar berkata perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan pusat data membuka peluang besar kepada negara, namun kemajuan teknologi itu tidak boleh mengabaikan aspek pembinaan insan dan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata pendekatan itu juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara kualiti pendidikan dan nilai moral dalam melahirkan masyarakat berdaya saing.
Perdana Menteri turut menarik perhatian bahawa Malaysia kini menjadi antara destinasi utama pelajar antarabangsa dengan kira-kira 160,000 pelajar luar negara menuntut di universiti awam dan swasta.
Beliau berkata jumlah itu merupakan antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dan mencerminkan keyakinan global terhadap sistem pendidikan negara.
-- BERNAMA