AM

Fahmi Seru Penglibatan Lebih Mendalam Dengan Google Untuk Perkukuh Keselamatan Dalam Talian

28/04/2026 03:28 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyeru penglibatan  lebih mendalam dan kerjasama lebih konstruktif dengan syarikat teknologi gergasi Google bagi memperkukuh langkah keselamatan dalam talian di Malaysia. 

Beliau secara khusus menekankan keperluan kepada inisiatif bersama-sama yang memberi tumpuan kepada peningkatan literasi digital, memperhebat kesedaran terhadap ancaman penipuan yang semakin berleluasa dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI).

“Apa yang saya ingin lakukan ialah bekerjasama dengan Google, bersama-sama dengan Yayasan ASEAN untuk melaksanakan inisiatif yang bukan sahaja menjadikan kita lebih bermaklumat, tetapi juga lebih terlindung melalui penggunaan AI yang lebih baik,” katanya dalam ucapan perasmian Dialog Keselamatan Dalam Talian Asia Pasifik 2026 di sini hari ini.

Beliau memuji pendekatan proaktif Google dalam memastikan keselamatan pengguna, menyatakan syarikat itu lebih ke hadapan berbanding pemain industri lain dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat.

Fahmi juga mencadangkan agar rangkaian luas kementerian, iaitu hampir 1,100 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) digunakan sebagai hab untuk sebarang program keselamatan.

“Anggap NADI sebagai Akademi Siber Google, itulah yang pernah mereka lakukan. Ini satu perkara yang saya percaya kita mempunyai ruang untuk bekerjasama dan saya berharap kita boleh mengadakan perbincangan yang konstruktif serta segera,” katanya.

Selain itu, Fahmi juga menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Google bagi menilai dan menangani risiko keselamatan siber termasuk melalui penggunaan alat khusus Google.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2550377