KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kemajuan teknologi, pengetahuan dan penciptaan harta intelek (IP) serta bakat boleh menjadi pemangkin untuk mengembangkan sektor automotif dan semikonduktor Malaysia di samping memperkukuh sinergi antaranya, menurut PricewaterhouseCoopers Associates Sdn Bhd (PwC).
PwC menekankan dapatan itu dalam laporan terkini mengenai persilangan antara industri semikonduktor dan automotif Malaysia bertajuk “Semiconductor-powered Future of the Automotive Industry in Malaysia.”
Menurut laporan itu, dari segi kemajuan teknologi, sektor semikonduktor Malaysia masih banyak didominasi oleh operasi tradisional penyumberan luar pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT), dan perlu beralih kepada aktiviti baharu dan lebih maju untuk kekal berdaya saing dan relevan.
“Malaysia mempunyai peluang menarik tetapi dalam masa yang terhad untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penting dalam rantaian bekalan semikonduktor automotif global dan elektronik bernilai tinggi.
"Bagi mencapai matlamat ini, ia memerlukan kerjasama strategik dengan peneraju semikonduktor global dan syarikat automotif Tahap 1 serta pengeluar peralatan tulen (OEM) automotif untuk mempercepat pemindahan teknologi, mendapatkan akses kepada harta intelek termaju dan membangunkan keupayaan melebihi daripada operasi OSAT,” katanya.
Menurut PwC, pengetahuan dan penciptaan IP dalam industri automotif dan semikonduktor Malaysia masih terhad.
Sehubungan itu, hubungan antara kedua-dua sektor berkenaan perlu diperkukuh untuk menarik serta membangunkan penyepadu sistem Tahap 1, katanya.
PwC memaklumkan, walaupun Malaysia mempunyai kelebihan sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, industri ini masih tertumpu kepada proses di peringkat akhir.
“Untuk melangkah ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai, Malaysia perlu menjadi hab serantau bagi pengintegrasian sistem automotif dengan menarik dan membangunkan syarikat yang mampu menghasilkan subsistem automotif lengkap.
“Sistem itu seperti Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS), maklumat hibur dan komputer kenderaan berpusat sekali gus mendorong aktiviti bernilai tambah tinggi melebihi daripada OSAT tradisional,” katanya.
Menurut PwC, Malaysia memerlukan tambahan sebanya 50,000 jurutera semikonduktor yang berkemahiran.
“Ekosistem semikonduktor Malaysia menawarkan pembuatan yang matang, penyelidikan dan pembangunan yang kukuh serta kerjasama tenaga kerja yang mantap antara kerajaan, industri dan universiti.
“Bagaimanapun, kekurangan yang kritikal sebanyak 50,000 jurutera berkemahiran di samping keperluan kemahiran yang semakin canggih, memerlukan transformasi segera bagi mengelakkan pertumbuhan dalam sektor ini terjejas,” katanya.
-- BERNAMA