Oleh Siti Azila Alias
GEORGE TOWN, 29 April (Bernama) -- Impian Shameera Nasreen Ahamed Noordeen untuk tampil di pentas dunia menjadi kenyataan selepas terpilih mewakili Majlis Belia India Malaysia (MIYC) ke Forum Belia Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 16 April lalu di New York, Amerika Syarikat.
Penuntut Sarjana Sains Marin, Universiti Sains Malaysia berusia 27 tahun itu antara tiga wakil belia Malaysia ke forum “Asia and the Pacific | Youth Perspectives on Regional Development - Challenges, Priorities and Actions for the Sustainable Development Goals (SDGs)”, yang menghimpunkan lebih 500 peserta muda dari lebih 50 negara di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Shameera Nasreen yang juga pegawai seranta di Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang, berkata penyertaannya dalam forum itu bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya merupakan hasil daripada usaha berterusan selama dua tahun.
“Saya bermula dengan mendalami sistem PBB, khususnya program di bawah Hal Ehwal Belia PBB, selain aktif menyertai webinar, forum dan platform penglibatan seperti Forum Belia ECOSOC serta inisiatif berkaitan belia yang lain.
pic-2
“Pada masa sama saya memperkukuh profil di peringkat tempatan dan antarabangsa menerusi penglibatan saya dalam MIYC dengan sentiasa mencari peluang untuk menyumbang dan berkembang,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Menurut anak jati Pulau Pinang yang dibesarkan oleh penjaga berketurunan Cina ini, dia memohon ke program itu pada Januari lalu dan melalui dua tapisan sebelum menerima surat tawaran pada 18 Mac, sekali gus menandakan satu pencapaian bersejarah dalam hidupnya setakat ini.
Wanita muda ini turut menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diterima, termasuk pembiayaan daripada Kementerian Belia dan Sukan serta beberapa penaja lain.
Berkongsi lanjut pengalamannya di forum itu, Shameera Nasreen yang aktif dalam MIYC sejak 2020 dan kini merupakan ketua cawangan MIYC Bukit Mertajam, berkata dia menyampaikan celahan yang mengetengahkan model penglibatan belia Malaysia.
pic-3
Selain itu, dia turut berpeluang berinteraksi dengan pemimpin dan pihak berkepentingan antarabangsa semasa sesi libat urus peringkat tinggi, antaranya Presiden ECOSOC 2026 Lok Bahadur Thapa, Kaunselor di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB Nur Azura Abd Karim serta Ketua Kepelbagaian dan Penglibatan di PBB Jennifer Stanzl.
“Pada sesi libat urus itu, perbincangan bukan sahaja tertumpu pada SDG, malah turut menyentuh usaha memperkukuh kerjasama rentas sektor, memperluas pembangunan inklusif serta memperkasa peranan belia dalam menangani cabaran global yang semakin kompleks,” katanya.
Tegasnya kerangka kerjasama antara kerajaan, institusi belia dan badan antarabangsa amat penting bagi memastikan golongan muda diiktiraf sebagai pihak berkepentingan aktif dalam proses membuat keputusan.
-- BERNAMA